Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sebagai contoh, kerajaan negeri cuba menyelesaikan masalah perumahan penduduk tetapi akan muncul pihak yang mempertikaikan mengapa ada yang tidak terpilih dalam senarai sesuatu projek.

Menurutnya, projek pembangunan seperti itu dilaksanakan secara berperingkat iaitu mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri.

“Karenah sebegini kadangkala menjadikan kerajaan terbantut untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat. Ketika kita cuba menyelesaikan masalah rakyat, akan datang pelbagai rungutan dan dakwaan kerana tidak terpilih dalam sesuatu projek pembangunan.

“Jadi jangan ada mana-mana pihak menjadikan usaha kerajaan ini sebagai isu politik. Kalau ia dipolitikkan macam mana kita nak bantu.

“Jangan bangkitkan masalah tetapi bangkitkan jalan penyelesaian masalah rakyat,” katanya selepas menyerahkan surat lot tapak kediaman kepada 133 pe­nerima untuk rancangan perkampungan tersusun, Bemban di sini semalam.

Mengenai tapak lot kediaman untuk penduduk di Bemban, Zambry berkata, ia melibatkan kawasan seluas 10 hektar untuk pembinaan rumah.

Beliau berkata, kerajaan ne­geri menyediakan kemudahan infrastruktur di kawasan itu menerusi peruntukan Kerajaan Pusat berjumlah RM5 juta.

Menurutnya, kerajaan ne­geri bersimpati dengan masalah yang membelenggu penduduk di kawasan berkenaan sejak 1980-an lagi.

“Kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan sekiranya ada ruang di kawasan berkenaan yang boleh diwujudkan lagi pe­nempatan semula pemohon lain,” katanya.

Katanya, terdapat penduduk mungkin masih tercicir daripada senarai penerima program tersebut dan kerajaan negeri ber­usaha menyelesaikannya untuk memberi kediaman lebih selesa kepada rakyat.

“Penerima tanah lot untuk membina kediaman ini hanya perlu membayar RM1,000 termasuk caj premium,” katanya.