Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat, berkata, adalah sesuatu yang menyedihkan apabila gambar seorang warga emas yang me­nerima bantuan dedak makanan ayam daripada kerajaan ditularkan di laman sosial dan dilabelkan sebagai ‘penerima dedak’.

“Ada pihak ambil kesempatan dengan mengambil gambar pe­nerima bantuan tersebut dalam satu program di Alor Pongsu baru-baru ini dan gambarnya ditularkan di media sosial sebagai penerima dedak.

“Warga emas yang menjadi mangsa tohmahan itu menerima kesan yang teruk. Ia perbuataan terkutuk oleh mereka tidak berhati perut sehingga sanggup buat bermacam-macam demi kepentingan politik kotor mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sele­pas Majlis Pemuafakatan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Serai dan penyerahan zakat kepada asnaf di sini baru-baru ini.

Sham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu berkata, bantuan yang diberikan oleh kerajaan demi membantu rakyat yang memerlukan khususnya orang kurang upaya, penduduk kurang berkemam­puan dan warga emas.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu rakyat yang memerlukan dan ia diberikan tidak bermusim.

“BN bukan hanya muncul menjelang pilihan raya. Walaupun ditohmah, kita akan terus membantu rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Sham menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan Kabinet baru-baru untuk menyekang penyebaran berita palsu.

“Lebih penting rakyat jangan tidak mudah percaya berita-berita yang belum dipastikan kesahihannya,” tegas beliau.