Festival yang me­nyajikan 13 jenis makanan dan masakan is­ti­mewa ma­­syarakat ne­geri Perak serta 20 menu utama yang popular da­lam kalangan penduduk Pangkor turut mendapat per­hatian pengunjung luar negara.

Program itu dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Tourism Perak, Jabatan Warisan Negara dan Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil (Melayu) Negeri Cawangan Pulau Pangkor.

Makanan yang disajikan pada festival tersebut jarang ditemui di tempat lain dan menarik lebih 3,000 pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan, Kebudayaan, Kese­nian, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, makanan yang disediakan pada festival tersebut memberi peluang kepada pelancong merasai makanan tradisional negeri ini.

Menurutnya, Perak mempunyai latar belakang pelbagai kaum yang datang bermastautin dan membawa seni sastera dan budaya serta warisan makanan masing-masing.

“Sama ada juadah tersebut berasal dari Thailand, Indonesia, Cina, India serta Sabah dan Sarawak, semua­nya memperkayakan cita rasa selera sebuah masyarakat majmuk,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kurator Jabatan Wari­san Negera Zon Tengah, Mohd. Hasry Abd. Samad berkata, antara ma­kanan disajikan pada festival itu termasuk ikan pindang daun seniar, kelamai, bu­bur anak lebah, gulai kemahang dan kebebe.

Menurutnya, selain memperkenalkan sajian tradisional Perak kepada pelancong asing, festival itu juga memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai makanan tradisi yang semakin dilupakan.

“Semua sajian tra­disional itu datang­nya dari pelbagai daerah seluruh nege­ri dan antara yang mendapat perhatian adalah rendang tok, bubur anak lebah dan daging gulai umbut pisang hutan,” katanya.

Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Me­layu Ne­geri Cawangan Pulau Pangkor, Mohd. Zamzuri Suid berkata, setiap kali berlangsung Pulara, menjadi kemestian kepada penduduk setempat memper­kenalkan menu istimewa masyarakat Pangkor.

Katanya, antara yang se­ring dicari adalah laksa mi yang hanya terdapat di pulau peranginan itu.

“Pangkor terkenal dengan menu mi lipat, lempeng cicah sambal bilis mata biru, apam lenggang dan sebagainya.

“Melalui program sebegini, kita dapat mengangkat sajian tempatan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.