Pengusaha kedai makan tersebut, Mohd. Isa Mohammed Ramli, 43, berkata, hanya di Castella Cafe pelanggan boleh menikmati makanan sambil berendam kaki di dalam air sungai yang jernih dan sejuk.

Menurutnya, selain suasana unik, pelanggan juga boleh menikmati kelazatan masakan tradisional Melayu Patani iaitu gulai sakai ikan sebarau, kelah atau tengas yang dimasak dalam buluh.

Katanya, menu yang dihasilkan de­ngan kaedah tradisi mengikut disiplin semula jadi, selain ikan sungai, dihidang­kan juga umbut mereding dan umbut bayas dicicah dengan air lawa iaitu kuah kerabu diperbuat daripada kerisik mengikut tradisi orang Melayu zaman dahulu.

“Hidangan makanan dan menunya adalah pilihan pengunjung dan masakan utamanya adalah ikan sungai yang segar seperti sebarau, tengas, kelah, tengalan dan sebagainya terkenal dengan kesedapan tekstur isinya,” katanya di sini.

Mohd. Isa berkata, idea membuka perniagaan itu diilhamkan kerana kawasan tersebut mempunyai latar belakang alam semula jadi yang jaraknya 10 kilometer di pinggir bandar Gerik.

Katanya, dengan berkonsepkan dangau buluh, pengunjung boleh menikmati hidangan yang sememangnya tiada di tempat lain.

“Ikan sungai amat sesuai dengan menu masakan seperti gulai sakai, masak lemak cili api, ikan pekasam dan ikan bakar,” katanya.

Pengunjung yang ingin menikmati hidangan istimewa perlu membuat tempahan sehari atau dua hari terlebih dahulu bagi memudahkan tukang masak mencari bahan dan memasaknya.

Pengunjung juga boleh bermalam dengan penginapan bilik serendah RM50 hingga RM70 semalam dan kemudahan seperti tandas, surau, dewan disediakan.

Mohd. Isa kata, antara cabaran yang dihadapinya ialah setiap kali hujan lebat dan paras air sungai naik, menyebabkan kerusi meja di dalam air dihanyutkan.

“Oleh itu, kerusi terpaksa diikat kemas dengan tali dan ditambat pada batang pokok yang ada berdekatan sungai,” katanya.

Seorang pengunjung, Mohd. Syuhai­ril Ramli, 39, dari Felda Bersia berkata, konsep santai, suasana tenang, bunyi air mengalir membuatkannya tidak jemu untuk datang ke Castella Cafe.

“Sebulan sekali saya mesti sampai ke sini bersama rakan-rakan sekerja menikmati juadah ikan bakar dan masak lemak ikan baung yang enak sambil ditemani nyanyian unggas rimba,” katanya.