SYAZA WARDINA WAFA SHAARANI bersama ibunya, Nurul Huda Mohd. Yusof menunjukkan keputusan UPSR di SK Pulau Padang, Bota Kiri, Parit, Perak, semalam.

Syaza Wardina Wafa Shaarani, 12, merupakan satu-satunya murid memperoleh A dalam semua mata pelajaran sekali gus dinobatkan murid terbaik di sekolahnya.

Syaza Wardina Wafa yang mesra dipanggil Syaza berkata, tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan itu selain usaha bersungguh-sungguh selain doa dan restu kedua ibu bapa.

“Ayah dan ibu tidak pernah memberi tekanan malah mereka memberi kebebasan kepada saya untuk menonton televisyen dan melayari internet.

“Namun sebulan menjelang UPSR, saya mengehadkan masa hanya antara satu jam hingga dua jam sahaja melayari internet dan melupakan televisyen. Alhamdulillah, pengorbanan saya berbaloi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Syaza yang meminati bidang muzik, belajar di Sekolah Kurang Murid (SKM) juga menjadi kelebihan apabila guru untuk memberi tumpuan lebih kepada murid terlibat.

Menurutnya, hanya 10 murid sahaja di sekolahnya yang menduduki UPSR.

“Sesetengah murid mungkin beranggapan ia satu kekurangan kerana kurang persaingan, namun bagi saya ia sebaliknya.

“Selain guru dapat memberi tum­puan lebih, kita juga dapat mempelajari dan memahami se­suatu subjek itu dengan lebih mudah kerana belajar dalam kelompok yang kecil,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Shaarani Ismail, 39, berkata, berpandukan format baharu UPSR yang diperkenalkan tahun lalu, dia sentiasa mengingatkan anaknya sentiasa menitikberatkan keperluan dalam menjawab soalan bagi setiap mata pelajaran.