Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri, Abdul Aziz Bari berkata, ini mengheret syarikat tersebut ke mahkamah bagi memastikan kebajikan penduduk setempat dan kelestarian alam terpelihara.

Menurutnya, siasatan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati aktiviti perlombongan itu menjadi punca pencemaran apabila air daripada pempro­sesan bahan galian itu dibuang ke dalam sungai.

“Laporan penuh daripada setiap agensi terlibat termasuk JAS, Jabatan Mineral dan Geosains serta Pejabat Tanah dan Daerah Kampar akan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan terhadap syarikat tersebut dilakukan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak perlombongan tersebut di Kampung Sahom, di sini semalam.

Sebelum ini, hampir 100 penduduk Kampung Sahom meng­adakan perhimpunan membantah aktiviti perlombongan emas haram di sebuah ladang kelapa sawit di kampung tersebut yang menyebabkan pencemaran air berlaku di Sungai Kepar.

Abdul Aziz berkata, bagaima­napun kerajaan negeri belum mengetahui bahan mineral yang di lombong oleh syarikat tersebut di ladang kelapa sawit di kampung itu.

“Keputusan ujian makmal Ja­batan Mineral dan Geosains masih belum diperoleh, namun bahan galian tersebut sememang­nya berharga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sahom, Mohd. Lot Abdul Hamid berkata, penduduk kampung terus memantau sebarang aktiviti yang boleh mencemarkan alam sekitar.

“Pencemaran melibatkan Su­ngai Kepar, Sungai Dipang dan Sungai Rias sekali gus menjejaskan industri pelancongan di kampung tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka) Perak, Sajeeda Muhammad berpuas hati dengan tindakan segera yang diambil kerajaan negeri menghentikan operasi perlombongan emas haram tersebut.