Pengarah LKIM negeri, Zarina Abdul Latif berkata, pelbagai strategi telah diusahakan bagi mengukuhkan ekonomi nelayan dalam menghadapi bebanan kos sara hidup yang kian meningkat.

“Salah satu daripadanya ialah pembayaran elaun sara hidup nelayan antara RM250 hingga RM300 sebulan.

‘Apabila kerajaan Persekutuan mengumumkan keputusan untuk memberikan bantuan elaun sara hidup, sebanyak RM145 juta telah diperuntukkan pada setiap bulan kepada kira-kira 51,000 nelayan di seluruh negara.

“Di negeri Perak sahaja, sejak ia dilaksanakan pada tahun 2008 sehingga September lalu, kerajaan telah membayar sebanyak RM180,175,750 kepada 7,739 nelayan seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan elaun sara hidup kepada nelayan di daerah Kerian di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Piandang di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Mat Ali.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, selain elaun sara hidup, kerajaan juga membantu nelayan melalui program baik pulih serta bina baharu kediaman.

“Kita juga telah mengenal pasti tempat pendaratan atau pelantar ikan yang rosak akibat banjir baru-baru ini dan ia akan dibaiki segera,” katanya.