Tertuduh, Mohd. Roslan Baharom, 50, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Roslan didakwa memiliki selaras senapang patah buatan sendiri di sebuah rumah beralamat No. 42 Kampung Padang Jeri, Gerik, pada pukul 12 tengah hari 11 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki 34 butir peluru hidup  di sebuah rumah beralamat Lot 1907, Perumahan Mesra Rakyat, Kampung Air Pulau, Gerik pukul 2 petang pada tarikh sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Azfar memohon mahkamah supaya kes itu disebut semula bagi menunggu laporan senjata api dan balistik peluru serta tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

Raja Shahril Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 30 April depan.

Sebelum ini, satu sindiket pemburu dan penjualan hidupan liar yang aktif dan diburu agensi penguatkuasaan sejak sembilan tahun lalu tumpas selepas empat lelaki ditahan dalam operasi yang dijalankan polis bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di kawasan hutan Gerik. - UTUSAN ONLINE