NIS Land Recreation yang dibangunkan di tanah seluas 0.4 hektar di tengah kawasan sawah padi menghijau amat sesuai bagi mereka yang gemar bergambar mahupun mengambil gambar.

Jadi tidak hairanlah, meskipun baharu dibuka 4 Novem­ber lalu, keindahan dan ke­unikan lanskap NIS Land Recreation telah menjadi buah mulut pelancong serta penduduk berdekatan.

Pemiliknya, Wong Lang Sang, 50, yang merupakan anak jati Chui Chak berkata, selain mempunyai lanskap menarik dengan pelbagai jenis bunga dan pokok buah-buahan seperti mata ku­cing, jambu dan limau, NIS Land Recreation juga turut menempatkan sebuah rumah yang dipenuhi dengan koleksi bara­ngan antik antaranya tele­visyen, piring hitam, mesin getah dan radio lama.

Lang Sang berkata, paling disukai pengunjung untuk me­rakam gambar ialah di rumah terbalik yang sememangnya cukup unik dan hanya terdapat beberapa buah di negara ini selain ruangan pengambaran filem dan foto perkahwinan.

“Di sini juga mempunyai satu kawasan seperti menara yang dibuat daripada kontena terpakai untuk memudahkan pengunjung mengambil gambar dari puncak serta berlatar belakangkan kawasan sekitar NIS Land Recreation.

“Paling ramai datang adalah mereka yang ingin merakamkan gambar pra perkahwinan ataupun gambar simpanan selepas majlis pernikahan. Tidak jadi masalah kerana memang tujuan utama kita untuk mewujudkan ruang menarik untuk bergambar dan mereka boleh berada di sini selama mereka suka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Lang Sang berkata, NIS Land Recreation dibuka setiap hari mulai pukul 9.30 pagi hingga 7.30 petang dengan bayaran sebanyak RM8 untuk dewasa manakala RM4 untuk kanak-kanak serta percuma untuk Orang Kurang Upaya (OKU).

Seorang pengunjung, Robiah Mohamad, 44, berpuas hati dengan lanskap dan keunikkan yang terdapat di NIS Land Recreation kerana setiap sudut dihiasi dengan bunga-bunga yang cantik selain pemandangan sawah terbentang.

“Pondok-pondok untuk beristirehat di sini beratapkan daun nipah yang menyuntik rasa berada di kampung halaman, memang amat sesuai untuk menghilangkan tekanan setelah penat bekerja,” katanya.

Jamaluddin Doraini, 63, ber­kata, dia merasa amat bertuah dan bangga kerana terdapat individu yang sanggup mengeluarkan kos yang besar untuk mewujudkan kawasan pelancongan unik seperti itu.

“Kita tidak perlu lagi ke Sabah , Negeri Sembilan atau Kuala Lumpur untuk melihat rumah terbalik kerana di sini sudah ada,” katanya.