Lebih-lebih lagi, kubu ketenteraan tersebut yang dikaji oleh sekumpulan penyelidik dari Malaya Historical Group (MHG), terletak di kawasan yang tidak lagi aktif digunakan sejak tahun 1970-an.

Pengurus LTSAS, Mohd. Ali Osman berkata, pihaknya akan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan beberapa agensi berkaitan susulan pene­muan signifikan tersebut.

“Kita menyokong sekiranya kawasan tersebut dijadikan kawasan sejarah ketenteraan dalam usaha untuk menarik pelancong ke negeri Perak.

“Sebelum ini, kita telah mene­mukan tiga kubu pertahanan tentera di dalam kawasan LTSAS dan ini merupakan pene­muan terbaru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turut sama membawa media melawat tapak berkenaan yang juga disertai oleh Persatuan Warisan Perak, wakil Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Malaysia Airport Berhad (MAB) di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Penyelidik MHG, Shaharom Ahmad berkata, kubu tersebut dipercayai digunakan oleh tentera British untuk berlindung sewaktu tentera Jepun melancarkan serangan udara dengan menggunakan bom mortar.

Menurut Shaharom, berda­sarkan kepada struktur kubu berkenaan, beliau percaya ia digunakan oleh ahli keluarga serta tentera British untuk berlindung semasa Perang Dunia Kedua pada tahun 1941.

“Kubu perlindungan Bri­tish bawah tanah ini merupakan penemuan pertama di negara ini. Kajian terdahulu hanya menemukan kubu pertahanan British yang berada di atas tanah.

“Kubu ini dianggarkan seluas 9 meter x 9 meter dengan ketinggian 2.5 meter. Berdasarkan kajian saya, ia mampu memuatkan seramai 30 hingga 40 orang dalam satu-satu masa,” katanya.

Mengulas lanjut, Shaharom berkata, beliau yakin bahawa ia merupakan kubu perlindungan berikutan struktur binaannya sama seperti kubu lama di Singa­pura serta beberapa negara di Eropah.

Beliau berkata, struktur binaan kubu tersebut masih utuh biarpun telah berusia lebih 75 tahun.

Tambah beliau, di bahagian dinding kubu tersebut, pihaknya turut menemukan tulisan kapur dalam bahasa Mandarin yang tertulis 'makanan cukup untuk 2,100 orang' - dipercayai ditulis oleh kontraktor dari negara China.

“Sewaktu Perang Dunia Ke­dua, British memang membawa masuk kontraktor dari China untuk mendirikan bangunan dan tidak mustahil tulisan itu ditulis semasa kubu tersebut digunakan semasa serangan.

“Kita juga sedang mengkaji sama ada terdapat kubu perlin­dungan bawah tanah lain yang turut dibina kerana pada kebia­saannya, ia akan dibina lebih banyak di kawasan berhampiran,” katanya.