Sayur kubis varieti hibrid F1 khas untuk ditanam di tanah rendah termasuklah mengikut ke­se­suaian tanah, cuaca dan suhu ber­ban­ding kebiasaannya di kawasan tanah tinggi dan cuaca sejuk.

Cubaan pertama menanam ku­bis tersebut dijalankan di sini sejak tahun lalu di setiap pusat pertanian daerah melibatkan seorang pengusaha di setiap lokasi ternyata memberikan hasil yang baik.

Pengarah Pertanian negeri, Noorazmi Yahya berkata, tidak mustahil negeri ini khasnya daerah Manjung dijadikan sebagai hab pengeluaran kubis bulat berdasarkan hasil yang diperoleh pada pusingan pertama.

Noorazmi berkata, pihaknya perlu menunggu sehingga pu­sing­an kedua dan ketiga tuaian bagi melihat hasil sebenar tanaman kubis itu.

“Pusingan kedua dan ketiga pada bulan ini serta Julai depan akan menentukan sama ada tanaman ini dibuka untuk diusahakan kepada umum ataupun tidak pada tahun depan,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, pengusaha kubis varieti hibrid F1 di sini, Cheah Song Hui, 32, berkata, tanamannya menjadi walaupun kubis ditanam di kawasan tanah rendah dan cuaca panas.

“Walaupun ini percubaan pertama, namun hasilnya agak memberangsangkan tetapi saya harus menunggu dua lagi percubaan bagi memastikan ia berjaya sepenuhnya,” katanya.

Kubis bulat yang dihasilkan di daerah Manjung boleh mencecah hingga dua kilogram berbanding di kawasan lain.

Rupa bentuk kubis juga setara dengan tanaman di tanah tinggi dengan kepadatan isi, bentuk, warna dan beratnya.

Song Hui berkata, cabaran adalah serangan ulat perosak dan dia menggunakan racun sesuai selain baja mengikut keperluan.

“Walaupun pengurusannya agak rumit, namun sayur ini mempunyai potensi tinggi serta mampu meraih keuntungan baik. Saya harap pada pusingan kedua dan ketiga nanti saya akan mendapat hasil lebih baik,” katanya.