Bagaimanapun, bagi mereka yang gemarkan cabaran, segala cemuhan dan tohmahan itu dijadikan sebagai pembakar semangat untuk terus kekal berani mencapai impian dan cita-cita.

Bagi mencapai hasrat mencipta nama serta memenuhi kepuasan diri, sudah semesti­nya jiwa kental serta ketaha­nan mental dan fizikal utuh amat diperlukan bermula sejak awal cabaran sehinggalah ke garisan penamat.

Ini dibuktikan sendiri oleh pendayung kayak solo, Murad Mohd. Kassim, 47, yang menepis semua ‘cakap-ca­kap belakang’ serta mempertikaikan tindakannya itu sehingga dia kini menempa nama dalam pelbagai cabaran dalam mahupun luar negara.

Menurut bekas komando di Kem Sungai Udang, Melaka itu, cemuhan sebegitu sudah menjadi asam garam kehidupannya dan tidak sesekali akan dijadikan sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan.

“Biarlah saya dikatakan me­lakukan kerja bodoh, berlagak, akan gagal, menjadi mangsa ombak, ribut dan jerung, saya tidak peduli. Itu semua saya anggap sebagai cabaran untuk membakar semangat,” katanya.

Murad terlibat sebagai pendayung kayak solo secara aktif sejak tahun 2010 dan kini dia mampu berbangga apabila kerja kerasnya selama ini berbaloi hingga dikenali sebagai pendayung kayak solo negara.

Katanya, antara kejayaan yang telah diciptanya terma­suklah kayak solo Kelab Ekspedisi 7Benua (KE7B) mengelilingi Semenanjung sejak 1 April hingga 22 Mei 2015 sejauh 2,200 kilometer dan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

“Saya juga pernah berkayak solo dari Kuala Kangsar ke Port Dickson dalam suasana getir seperti ribut besar di muara Ulu Bernam, dihimpit kapal besar di Pelabuhan Klang dan menyertai Misi Kayak Danau Toba sejauh 320 kilometer.

“Saya tidak mempunyai per­alatan seperti kompas atau peta ketika berdayung tetapi cuma berbekalkan telefon bim­bit dan rakan-rakan yang sentiasa berhubung bagi mendapatkan maklumat,” ujarnya.

Tambahnya, sehingga kini selain dirinya, negara turut mem­punyai seorang lagi pen­dayung solo iaitu Nadzeri Musta­ffa.

Katanya, dia juga se­ring menjadikan ta­ri­­kh tertentu seperti Hari Kebangsaan dan­ hari keputeraan sultan sebagai tema untuk menjalankan misi dayungan ka­yaknya.

Jelas Murad, tugasnya sebagai pensyarah di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) sejak empat tahun lalu tidak menghalang­nya meneruskan minat dalam bidang itu, malah sering mendapat undangan untuk memberi bimbingan tentang cara ber­kayak daripada pelbagai pi­hak.

“Saya ingin melahirkan ramai pendayung solo yang mampu bersaing bukan sahaja di negara ini, bahkan di peringkat antarabangsa,” katanya.