Namun kreativiti dua wanita bersaudara di Kampung Padang Serai Dalam, Batu Hampar dekat sini berjaya membawa produk itu lebih jauh melalui penghasilan snek bihun yang mempunyai enam perisa sejak lapan tahun lalu.

Snek yang diusahakan Zaiton Abd. Hamid, 48, dan Norshidah Chik, 40, itu kelihatan seperti kuih cakar ayam kerana bentuk serta teksturnya hampir sama.

Apa yang membezakan snek bihun jenama Pelangi Ayu keluaran mereka adalah ramuan yang digunakan selain rasanya lebih enak serta kurang manis.

Zaiton berkata, snek bihun Pe­langi Ayu dipasarkan dalam lima perisa menarik seperti pelangi, coklat Milo, bilis pedas, pandan, jagung dan yang terbaharu Nestum.

“Pada mulanya agak susah hendak menghasilkan produk ini dan ia mengambil masa namun setelah banyak kali mencuba, akhirnya kami berjaya,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, berban­ding kuih cakar ayam yang dihasilkan dengan menggunakan ubi keledek, snek keluaran syarikatnya menggunakan bihun sahaja.

Jelasnya, walaupun nampak ringkas tetapi proses menghasilkan snek bihun agak sukar dan memerlukan kerja yang teliti.

Zaiton berkata, bihun tidak boleh direndam dengan air tetapi dihancurkan dengan menggunakan tangan.

“Air gula kemudiannya dimasak dan sebatikan dengan bihun, campurkan dengan warna atau perisa dan masukkan ke dalam acu­an, kemudian barulah digoreng,” katanya.

Beliau menambah, permin­ta­an terhadap snek itu amat menggalak­kan khususnya semasa musim perayaan dan kini mereka sedang berusaha untuk memperluaskan pasaran produk itu ke seluruh negara.

Katanya, produk mereka dijual di beberapa kiosk sekitar Perak dan setiap kali menghadiri kursus atau jemputan di luar daerah, mereka turut membawa snek bihun Pelangi Ayu untuk dipasarkan.

“Alhamdulillah, orang ramai gemarkan snek ini. Pelanggan boleh buat tempahan untuk memilih perisa yang ada kerana kami masih dalam proses percubaan untuk menilai bihun perisa apa paling digemari,” katanya.

Zaiton berkata, kebanyakan pelanggan adalah peniaga-peniaga kecil di sekitar Perak dan kuantiti snek dihasilkan mengikut jumlah tempahan.