Penganjuran KJM 2017 kali ini bakal mencatat rekod baharu apabila Konvoi Trak Makanan Malaysia diiktiraf sebagai ‘The Longest Distance Food Truck Convoy in Malaysia’ dan disertai oleh 100 buah trak makanan dari seluruh negara termasuk Sabah.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh menyempurnakan pelepasan konvoi tersebut pada pukul 11 pagi bertempat di Dataran 1Malaysia Youth City (1MYC) Food Truck Hotspot, Universiti Pendidikan Sultan Idris, di sini hari ini.

Selain itu, KPDNKK serta wakil-wakil komuniti trak makanan dari seluruh negara turut akan menjayakan Festival Food Truck Malaysia (FFTM) 2017 menerusi penyajian pelbagai jenis makanan dan minuman khususnya kepada warga Ipoh.

Dalam pada itu, konvoi serta program termasuklah ‘1Malaysia Mobile Hawkers’ yang dilaksanakan di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu dilihat mampu mentransformasikan perniagaan bergerak ke arah konsep perniagaan yang lebih moden seperti di luar negara.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Penjaja dan Perniagaan Kecil KPDNKK, Abdullah Abdul Rahman. - UTUSAN ONLINE