Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan ne­geri, Abdul Yunus Jamhari berkata, meraikan hari kebangsaan penting sebagai menghargai pengorbanan orang terdahulu yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

“Rasa sayangkan negara perlu ada dalam diri setiap rakyat dan mengisi makna kemerdekaan serta mengenang pengorbanan datuk nenek kita untuk negara mencapai kemerdekaan.

“Jadi sama-samalah kita me­ngibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kita menghargai negara serta pejuangan orang terdahulu,” katanya dalam majlis penye­rahan Jalur Gemilang kepada ketua kampung di daerah ini sempena sambutan Hari Kebangsaan di sini kelmarin.

Pada majlis tersebut, seramai 20 ketua kampung dalam mukim Kuala Kurau dan Mukim Tanjung Piandang menerima Jalur Gemilang.

Mengenai pelantikan ketua kampung yang baharu, Hasnul Zulkarnain berkata, sebagai pe­mimpin yang diberikan amanah, golongan itu perlu memainkan peranan masing-masing terma­suk untuk menyambut Hari Kebangsaan.

Beliau berkata, ketua kampung perlu menggalakkan Jalur Gemilang dipasang di kawasan tumpuan orang ramai supaya dapat dilihat oleh semua masyarakat.

“Ini bertujuan menjadikan suasana kampung lebih ceria dan memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda dan golongan muda,” katanya.

Sementara itu, ketua kampung yang ditemui berkata, mereka akan memberikan khidmat yang terbaik untuk masyarakat dan sedia menggalas tanggungjawab yang diberikan.

Ketua Kampung Pandak Putih, Kuala Kurau, Ismail Mahmud, 50, berkata, dia sedia memberikan khidmat kepada penduduk dalam apa keadaan sekali pun.

“Saya merupakan Ahli Lembaga Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Kurau dan ini memberikan saya pengalaman untuk berbakti kepada penduduk di kampung sendiri,” katanya.

Ketua Kampung Sungai Burung, Termizi Zaini berkata, me­ngadakan program kemasyarakatan bukan perkara asing baginya.

“Pengalaman sebagai bekas anggora tentera membantu saya melancarkan lagi tugas sebagai ketua kampung dan akan memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat,” katanya.