Rumpai laut atau dikenali sebagai sea bird nest, mengandungi sumber serat dan protein yang tinggi, justeru sesuai untuk penjagaan kulit.

Bagi masyarakat Sabah dan Sarawak, khazanah laut itu juga boleh dimakan, malahan ia me­rupakan antara hidangan popular di sana.

Sehubungan itu, Jabatan Perikanan komited dalam mempromosi produk berasaskan rumpai laut di Semenanjung Malaysia dengan mempelbagaikan variasi hasil laut itu bagi memudahkan penerimaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Penolong Pegawai Pe­rikanan Bahagian Pe­ngembangan dan Pemindahan Teknologi di Jabatan Perikanan Malaysia, Mohd. Ridzuan Moha­mad Mokhtar berkata, salah satu produk yang boleh dihasilkan adalah kerabu rumpai laut.

“Rumpai laut mempunyai tekstur yang lem­but, kenyal serta rangup, justeru bukan hanya bagus untuk kecantikan, malah ia juga boleh dimakan serta tidak mempunyai kesan sampingan.

“Rumpai laut juga mempunyai kebaikan kepada kesihatan antaranya dalam membantu masalah penghadaman serta kencing tidak lawas,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka Armada sempena sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-83 di Tambatan Pangkalan TLDM di sini, baru-baru ini.

Di Malaysia, terdapat dua spe­sies utama rumpai laut iaitu kappaphycus SP dan eucheuma cottonii.

Sebelum dipasarkan mengikut harga, rumpai laut akan diklasifikasikan mengikut gred selepas ia dibersihkan serta menjalani pro­ses pengeringan semula jadi oleh cahaya matahari.

“Bagi rumpai laut gred satu yang berwarna putih, ia mengambil masa selama dua jam untuk mengembang dan memerlukan dua kali bilasan.

“Untuk gred dua yang berwarna perang pula, ia mengambil masa enam jam untuk mengembang dengan proses bilasan sebanyak empat kali sementara gred ketiga memerlukan banyak penukaran air dan proses bilasannya adalah sekurang-kurangnya enam kali,” kata Mohd. Ridzuan.

Tambah beliau, sebelum ini, ramai juga yang beranggapan bahawa rumpai laut adalah berbau hanyir.

Malahan katanya, ada yang tidak mengetahui ia sesuai untuk dijadikan sebagai suatu juadah.

“Untuk dijadikan sebagai ke­rabu, kita menggunakan rumpai laut jenis eucheuma cottonii ke­rana ia lebih sesuai dan rangup. Apatah lagi ia sebati apabila dicampur dengan bahan asas se­perti cili api, udang kering, bunga kantan dan halia.

“Bahan-bahan itu memberikan rasa kepada kerabu rumpai laut tersebut," katanya.

Menurut Mohd Ridzuan, pihaknya mula menternak rum­pai laut di Langkawi, Kedah dan mempromosikan produk berasaskan hidupan laut itu sejak tahun 2015.

“Alhamdulillah sambutan dite­rima sehingga kini amat menggalakkan. Di negara kita, Sabah merupakan pengeluar terbesar rumpai laut.

“Anak benih dari sana kemudian dibawa ke Langkawi untuk diternak sebagai proses percubaan dan langkah ini merupakan suatu usaha bagi meningkatkan pengeluaran serta kawasan pengeluar rumpai laut,” katanya.