Perkampungan suku kaum Te­miar itu kini dihuni oleh 500 keluarga yang masih berpe­gang teguh pada warisan alam serta kebudayaan masyarakat pe­ribumi meskipun turut sama menikmati arus pembangunan pada masa kini.

Keunikan budaya masyarakat Orang Asli di sini terserlah melalui seni penghasilan baju daripada kulit cawat atau kulit kayu pokok terap yang mudah didapati di pinggir hutan berhampiran dengan sungai.

Seorang penduduk, Misah Silong, 43, berkata, selain baju kulit kayu, pelbagai barangan lain juga boleh dihasilkan daripada kayu berkenaan seperti seluar serta selimut.

Misah berkata, pembuatan ba­ju kulit kayu yang dipelajari da­ripada datuknya sejak 15 tahun lalu itu hanya dihasilkan di kampung tersebut.

“Dahulunya, pakaian ini digu­nakan ketika berperang tetapi kini digunakan sewaktu sambutan perayaan mahupun perkahwinan. Selain itu, ia juga dikenakan oleh penari dalam tarian se­wang.

“Terdapat banyak jenis kayu pokok terap tetapi yang paling elok ialah dari jenis pokok terap hitam. Baju yang diperbuat daripada kulit kayu ini boleh dicuci dan tahan sehingga setahun,” katanya.

Menceritakan tentang proses pembuatannya, Misah berkata, pokok terap tidak ditebang de­ngan sewenang-wenangnya, se­­baliknya dipilih berdasarkan ke­­perluan untuk penghasilan se­sebuah baju.

Menurut Misah, kayu terap yang telah diraut batangnya, akan diambil bahagian pada lapisan keduanya sebelum di­ketuk-ketuk bagi melembutkannya.

Selepas itu, katanya, ia akan dibasuh serta dikeringkan sebelum digunting untuk dijahit dan baju tersebut juga perlu dicuci sekali lagi sebelum digunakan untuk dipakai.

“Satu set baju kulit kayu yang lengkap dengan seluar dan tempo (topi diperbuat daripada daun palas atau salak hutan), mengambil masa selama tiga minggu untuk disiapkan.

“Sehelai baju kulit kayu ini sahaja boleh dijual antara RM70 hingga RM80 dan kami juga ada menerima tempahan sehingga dari Tanjung Sepat, Selangor,” kata Misah yang turut mengakui menerima bantuan dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk tujuan promosi.

Sementara itu, peralatan berburu seperti sumpit dan anak damak, juga sinonim dengan budaya hidup masyarakat Orang Asli di sini.

Seorang lagi penduduk, Aju Alang, 46, memberitahu, anak damak pada asasnya diperbuat daripada batang bertam kerana kayu tersebut tidak suka dimakan oleh anai-anai.

Dia berkata, batang bertam yang telah diraut, dicantumkan bersama empulur rotan yang di­raut bulat, dengan menggunakan tar jelutong yang bertindak sebagai gam melalui sedikit pemanasan pada api.

Katanya, hujung anak damak itu kemudian dipotong sedikit sebelum disapu dengan racun akar atau racun pokok ipoh bagi digunakan untuk memburu sebarang binatang di hutan.

“Cara menyumpit yang betul ialah kita memegang sumpit de­ngan dua tangan serta mendekatkannya pada mulut. Kemudian, angin perlu disimpan di dalam mulut sebelum dihembus de­ngan nafas yang kuat.

“Kelajuan sumpit turut bergantung kepada panjang buluh sumpit tersebut. Lagi panjang buluh sumpit, lagi jauh ia boleh pergi sehingga 50 hingga 70 kaki (15 hingga 21 meter) dengan kelajuan kira-kira 100 kilometer sejam,” katanya.

Dalam pada itu, hidangan menarik masyarakat Orang Asli di sini pula terdiri daripada ubi kayu yang diparut halus dengan menggunakan duri pada batang rotan sebelum dibakar di dalam buluh, selama kira-kira setengah jam.

Dikenali sebagai ‘kewai kemnem’ dalam bahasa Orang Asli, parutan ubi kayu itu dibalut dengan daun lar ibarat lemang, tanpa ditambah dengan air kerana ia dikatakan mampu dimasak dengan menggunakan air semula jadi yang terdapat di dalam buluh.

Pokok buluh yang tumbuh merata di pinggir sungai kampung berkenaan, turut menjana ekonomi penduduk apabila mendapat permintaan tinggi khususnya ketika musim perayaan.

Selain itu, masyarakat Orang Asli di sini juga masih menggunakan bubu yang diperbuat daripada rotan untuk menangkap ikan air tawar seperti ikan tengas dan ikan daun di Sungai Raya di sini.

Menurut Tok Batin kampung berkenaan, Ayob Alang, 46, bubu tersebut sebaiknya dipasang pada awal pagi iaitu sekitar pukul 7 pagi dan diambil semula 12 jam selepas itu.

“Bubu yang dipasang perlu diambil pada keesokan hari supaya bau manusia yang terlekat padanya, tidak lagi dihidu oleh ikan-ikan.

“Pada kebiasaannya, bubu di­pasang di celah batu serta ditutup sedikit dengan daun dan diletakkan pada kedudukan me­lawan arus sungai kerana sifat ikan sememangnya begitu,” katanya.

Dari segi kesenian, kumpulan tarian sewang Kampung Pos Raya pula sememangnya cukup terkenal khususnya di Parlimen Gopeng.

Masakan tidak, kampung itu memiliki lagunya tersendiri yang menceritakan tentang rutin seharian penduduknya secara santai serta dipersembahkan sebagai suatu bentuk hiburan kepada pe­lancong yang mengunjungi kawasan penempatan berkenaan.

“Pada kami, budaya warisan itu perlu diteruskan. Sebagai generasi ketiga, kami misalnya meneruskan penghasilan baju kulit kayu yang hanya unik di kampung ini.

“Malahan, kami melakukan penambahbaikan dengan membubuh manik-manik supaya ia nampak lebih menarik selain pemakaiannya dipadankan dengan sanggul bunga mengikut kesesuaian tema sesuatu program,” kata Ayob.