Pertunjukan kereta klasik mini di bawah kelolaan Sport Mini Owners Club (SMOC) itu bukan sahaja disertai peminat dunia automotif dari Perak, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang; malah turut diikuti oleh peserta dari Thailand dan Singapura.

Mereka berkumpul bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-56 kereta mini yang dianjurkan buat kali kedua oleh Restoran Mastan Ghani Teluk Intan dengan kerjasama Pejabat Daerah Hiluir Perak, Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Datoh.

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa turut berkenan untuk merasmikan sambutan ulang tahun tersebut selain dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Menuru Nolee Ashilin, pertunjukan kereta mini klasik itu mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada peserta dan pengunjung, biarpun baru masuk tahun kedua penganjurannya, justeru berharap bilangan itu dapat dipertingkat pada masa akan datang.

“Saya berterima kasih kepada SMOC yang berjaya mengendalikan acara ini dengan begitu lancar tanpa sebarang halangan. Sememangnya matlamat kita adalah untuk menjadikan pertunjukan kereta mini klasik ini sebagai suatu tarikan untuk menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke Teluk Intan.

“Apatah lagi, bandar ini memiliki sebuah menara condong yang terkenal dan telah diiktiraf sebagai warisan kebangsaan,” katanya.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin berharap, acara pemotoran itu dapat memberikan pendedahan kepada penggemar kereta klasik serta remaja khususnya yang menetap di kawasan luar bandar, untuk berkecimpung dalam bidang tersebut.

Menurut beliau, keunikan reka bentuk pada kenderaan klasik mini, membawa nilai tersendiri sehingga kekal diminati biarpun wujud revolusi pada keluaran model-model terkini.

“Sehubungan itu, saya berbangga dengan program-program berbentuk klasik ini yang sememangnya berpotensi untuk menarik minat umum,” katanya.