Nor Hasnah, 59, merupakan peserta Sahabat Amanah Ikhtiar (AIM) di Seberang Perak, Kampung Gajah dekat sini memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM1,000 daripada AIM.

Sejak itu perniagaannya, Seri Selaseh Enterprise berkembang dan permintaan untuk kerepek yang diusahakannya meningkat terutama menjelang hari raya.

Kini dia boleh berbangga de­ngan usahanya apabila perniagaannya menghasilkan pulangan yang lumayan.

Menceritakan peringkat awal dia menceburi perniagaan tersebut, kata Nor Hasnah, dia pada mulanya sekadar menggoreng kerepek pisang dan ubi dengan cara kecil-kecilan mengunakan kuali biasa di rumahnya pada 2009.

Katanya, AIM banyak membantunya menghadapi cabaran dalam perniagaan apabila bukan sahaja memberi modal untuk memulakan perniagaan sebanyak RM1,000 tetapi juga memantau dan memberi khidmat nasihat.

Menurutnya, ketika itu dia hanya menggoreng kerepek pisang dan ubi untuk mengisi masa lapang yang menjadi pendapatan dia dan suaminya yang sudah bersara.

Pendapatan yang diraihnya pada waktu itu antara RM20 hingga RM30 sehari.

“Pada tahun 2014, saya me­nerima pinjaman RM50,000 daripada Jabatan Pertanian untuk mendirikan bengkel dan membeli peralatan memproses kerepek ubi dan pisang serta membuat rempeyek.

“Bengkel ini didirikan berhampiran dengan rumah.

“Sejak beroperasi di bengkel ini, saya dapat memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, perniagaannya juga mendapat dorongan daripada rakan-rakannya yang mengajarnya cara-cara membuat kerepek.

Katanya, permintaan tinggi terhadap produk yang dihasilkan tidak hanya di sekitar Seberang Perak tetapi sehingga ke Kuala Lumpur.

“Selain kerepak pisang dan ubi, saya turut membuat produk lain seperti maruku, kuih siput dan tiram,” katanya.

Katanya, selain menjelang Hari Raya Aidilfitri, permintaan untuk kerepek yang dihasilkannya meningkat mendadak terutama pada musim cuti umum dan cuti sekolah.

Menurutnya, ini menyebabkan kadangkala dia tidak menang tangan untuk memenuhi tempatan pelanggan.

“Biasanya ada juga tempahan yang saya terima untuk majlis perkahwinan apabila ada keluarga pengantin yang memberi kerepek untuk dibawa pulang oleh tetamu,” katanya.

Dalam pada itu, menjelang Ramadan seterusnya Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, Nor Hasnah sudah membuat perancangan untuk memastikan setiap tempahan yang diterimanya dapat dipenuhi dan siapkan dalam masa ditetapkan.

Katanya, sudah menjadi kelaziman tempahan kerepek meningkat mendadak setiap kali menjelang Aidilfitri.

Katanya, ketika ini dia sudah mula menerima tempatan kerepek untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya bercadang untuk menambah bilangan pekerja daripada enam orang ketika ini kepada 10 pekerja khas untuk menyiapkan tempatan kerepek yang ditempah oleh untuk sambutan Aidilfitri,” katanya.

Katanya, kini dia tidak lagi bimbang untuk menerima tempahan kerana selain tenaga kerja secara manual, bengkelnya dilengkapi dengan mesin memproses kerepek.

“Saya berterima kasih kepada Jabatan Pertanian yang memberi modal pinjaman untuk saya membeli mesin untuk memudahkan lagi proses membuat kerepek,” katanya.