Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri, Abdul Aziz Bari berkata, Allahyarham merupakan seorang tokoh yang kuat bekerja dan komited dalam tugasannya.

Menurutnya, Abu Bakar juga mahir menulis nota dalam tulisan Jawi yang dilihat sebagai seorang yang memperkasakan budaya penulisan Melayu yang asli menerusi tulisan tersebut.

Katanya, ini jelas menunjukkan tulisan Jawi bukan sesuatu yang ketinggalan atau dianggap kolot oleh masyarakat hari ini kerana penguasaan tulisan itu masih jelas terlihat sehingga ke hari ini.

“Kerajaan negeri berharap masyarakat sekarang yang akan mengikuti kesungguhan arwah Abu Bakar terus memberikan perkhidmatan terbaik meskipun tidak menduduki jawatan yang tinggi dalam bidang yang beliau ceburinya.

“Penghargaan ini diharap mungkin dapat diterjemahkan melalui penghargaan kewartawanan di peringkat nasional dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat keluarga Abu Bakar dan menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarhan, Fatimah Sahat, 68, di Padang Tembak di sini hari ini.

Abd. Aziz turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh wartawan dan wajar dianggap sebagai ‘sebuah institusi’ yang penulisannya boleh dijadikan rujukan pelbagai pihak.

“Penggunaan tulisan Jawi tidak menganggu atau merumitkan penulisan arwah yang berkhidmat sebagai wartawan selama 57 tahun,” katanya. - UTUSAN ONLINE