Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pemberhentian sementara itu berikutan terdapat permintaan daripada penduduk kampung untuk operasi berkenaan ditangguhkan bagi membolehkan mereka pula menjalankan usaha mencari mangsa.

Katanya, perbincangan mengenai perkara itu akan dilakukan secepat mungkin bagi menentukan tarikh dan berapa lama operasi berkenaan akan ditangguhkan.

“Ada permintaan penduduk di sini di mana berdasarkan pengalaman mereka, ada kes orang hilang yang berjaya dikesan dan minta kita keluar (daripada kawasan pencarian) dengan memberi masa dua ke tiga hari untuk mereka melakukan usaha mencari pula.

“Saya harus bincang sama ada kita akan ambil keputusan sementara untuk tinggalkan pos ini (pos kawalan bomba di Kampung Pintu Padang) buat seketika. Pada prinsipnya kita bersetuju dan perbincangan akan diadakan hari ini dengan keputusan penangguhan itu akan diketahui esok,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat pos kawalan bomba di Kampung Pintu Padang yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri, Azmi Osman di sini hari ini.

Dalam lawatan tersebut, Zuraida turut meluangkan masa bertemu ibu Mohammad Ashraf, Siti Maznah Khamis, 58; bapa tirinya, Sukar Rashid, 57 dan adik-beradiknya yang lain bagi memberikan sokongan dan kata-kata semangat.

Dalam kejadian pada 23 Mac lalu itu, Mohammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas pertandingan itu. - UTUSAN ONLINE