Panglima Angkatan Tentera, Je­neral Tan Sri Raja Mohamed Affan­di Raja Mohamed Noor ber­kata, pihaknya akan mencari me­kanisme terbaik berhubung per­kara itu bagi memastikan ke­bajikan veteran khususnya yang mengalami kecacatan kekal di­pelihara sebaik-baiknya.

“Justeru saya minta Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM untuk melihat apakah kemungkinan yang dapat kita buat untuk memudahkan golongan veteran ini.

“Kalau perlu dibawa kembali kepada Hospital Angkatan Tentera, kita akan bawa. Yang pen­ting kita dapat memudahkan dan mengurangkan masalah peruba­tan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada kira-kira 200 veteran ATM di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dan DUN Hulu Kinta di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Penga­rah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin dan ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md. Ha­nafiah.

Baru-baru ini, Kelab Orang Ku­rang Upaya (OKU) Veteran Pe­rang Negeri Perak membantah penyelarasan ubatan, rawatan dan alat perubatan veteran ATM dikendalikan KKM.

Setiausahanya, Ramli A. Rahman mendakwa pelarasan baharu itu bukan saja menyusahkan, malah membuatkan anggota kelabnya terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan kaki pal­su yang sebelum ini dikendalikan JHEV ATM.

Tambah Raja Mohamed Affandi, permintaan yang dibuat oleh Kelab OKU Veteran Perang Negeri Perak agar JHEV sendiri yang mengendalikan urusan perubatan veteran itu juga amat munasabah.

“Di mana ada ruang untuk diperbaiki bagi betulkan masalah, kita akan lakukan. Kita terbuka,” katanya.