Berlangsung di Kampung Parit Air Hitam, Alor Pongsu, konvoi berkenaan diarak meriah apabila Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad turut disambut dengan menaiki traktor oleh penduduk setempat yang ratanya-ratanya merupakan golongan petani dalam kalangan masyarakat Banjar.

Dzulkifli ketika berucap pada majlis tersebut berkata, selaras dengan era baharu SPRM setelah berusia 50 tahun, pihaknya serius untuk menjadi agensi yang digeruni oleh perasuah dan penerima rasuah tetapi mesra kepada rakyat.

“Saya hendak memberi amaran kepada orang di luar sana bahawa bermula awal tahun ini, SPRM telah menunjukkan keseriusan bagi menangani isu rasuah dan salah guna kuasa yang berada pada tahap membimbangkan.

“Dalam banyak hal, kerajaan Persekutuan dan negeri telah membuat polisi yang baik tetapi ia tidak dapat dilaksanakan oleh orang yang telah diamanahkan untuk menjalankan tugas. Oleh itu, rakyat berasa kecewa kerana kerajaan dilantik tidak dapat melaksanakan apa yang diharapkan.

“Sehubungan itu, kita akan bertindak bagi pihak rakyat supaya hak rakyat tidak dikhianati oleh orang yang tamak haloba. SPRM akan mengambil tindakan dengan membawa mereka ke muka pengadilan. Jangan khianati rakyat dan ini saya bagi jaminan,” katanya. - UTUSAN ONLINE