Pengerusi Gerakan Generasi Kedua Felcra Seberang Perak, Mohd. Rossidi Ismail berkata, setelah keluhan mereka disiarkan dalam akhbar baru-baru ini, tiada maklum balas positif yang diterima daripada pihak kerajaan.

AHMAD ZABIDI
AHMAD ZABIDI

“Kami beramai-ramai akan menyerahkan memorandum kepada menteri yang berke­naan iaitu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen sama ada minggu ini atau minggu depan,” katanya.

Mohd. Rossidi turut mencadangkan supaya Felcra dile­takkan semula di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar seperti sebelum ini.

Menurutnya, menerusi struktur baharu pentadbiran kerajaan, Felcra diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang menyebabkan peruntukkan sukar disalurkan.

“Felcra di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menyebabkan tiada lagi peruntukan pembangunan untuk orang kampung seperti Felcra yang terletak di luar bandar.

“Di bawah kementerian baharu ini, ia berasaskan mencari keuntungan semata-mata,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Kelab Suara Generasi Kedua Anak Peneroka Felcra Seberang Perak, Ahmad Zabidi Abdul Samad berkata, mereka tidak akan berhenti daripada perjuangan menuntut hak bayaran sara hidup penuh sebanyak RM1,000 sebulan yang dijanjikan sebelum ini.

MOHD. ROSSIDI ISMAIL
MOHD. ROSSIDI ISMAIL

“Kami akan mengadakan perhimpunan besar-besaran mungkin juga melibatkan pe­neroka Felcra dari seluruh Perak dan mendapat kerjasama daripada peneroka dari seluruh negara,” katanya.

Baru-baru ini, peneroka Felcra di sini mengadakan perhimpunan dan menyerah­kan memorandum kepada Se­nator Khairul Azwan Harun menuntut bayaran sara hidup RM1,000 dikembalikan setelah mereka kini hanya menerima RM450 sebulan.

Bayaran RM1,000 sebulan adalah berdasarkan tanah seluas tiga hektar kelapa sawit dan tiga hektar sawah peneroka yang diuruskan oleh Felcra Berhad.