Program itu merupakan antara usaha menaikkan nama MAPS sebagai salah destinasi menarik di negeri ini.

Penganjurannya berjaya menarik lebih 50,000 pengunjung dari dalam dan luar Perak yang tidak melepaskan peluang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan sahabat dengan menikmati pelbagai juadah.

Para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis terkemuka seperti Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah dan Zamani Slam.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, penganjuran di MAPS memberi peluang kepada rakyat berkongsi keriangan di taman tema tersebut.

“Apalah salahnya rakyat merasai apa yang kita ada di MAPS, ramai yang masih belum dapat merasai keseronokan di dalam taman tema ini.

“Saya ingin menjadikan hari ini sebagai hari paling menyeronokkan kepada rakyat dengan bersama-sama berkumpul di sini,” katanya di sini, baru-baru ini.

Sementara itu Ahmad Faizal menjelaskan, kerajaan negeri tidak akan menutup MAPS sebaliknya komited mencari jalan penyelesaian terhadap semua masalah yang dihadapi dalam usaha menjadikan taman tema berkenaan sebagai sektor pelancongan tumpuan di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri hanya mahu memberi penambahbaikan beberapa tempat di dalam MAPS untuk menjadikannya lebih menarik.

“Saya komited untuk tidak menutup MAPS dan meneruskan apa yang sedia ada dan kita akan cuba jadikannya tumpuan pelancongan yang hebat,” katanya lagi.

Sebagai usaha memulihkan MAPS, Ahmad Faizal memberi­tahu, pihaknya sedang dalam perbincangan dengan pelbagai pihak yang berminat untuk me­labur bagi pembangunan taman tema itu.

Walau bagaimanapun, ujar beliau, ia tidak boleh didedahkan pada masa ini kerana masih pada tahap perbincangan.

Jelasnya, antara masalah yang dihadapi termasuk tarikan utama MAPS iaitu Dream Zone yang sudah siap, namun masih belum dibuka dan digunakan.

“Kita sudah ada tempat menarik seperti itu, walaupun tidak diuruskan dengan baik sebelum ini.

“Namun dengan usaha lebih keras, saya yakin ia mampu menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia ke negeri ini dan itu usaha komited kita hendak buat,” katanya.