Pasangan ber­ke­naan, Hairul Anuar Abu Hasan, 26, dan Nurul Syafiqah Hamzah, 23, berkata, sebelum ini mereka menjual kuetiau semasa Ramadan namun kali ini mahu mencuba sesuatu yang lain untuk pe­langgan.

Menurut Hairul Anuar, mereka mahu menjual sesuatu yang orang lain tidak jual di situ, maka timbul idea untuk memasak ayam yang dibakar di dalam pasu yang diterbalikkan ketika dimasak.

Katanya, ayam yang dibakar secara tradisional menggunakan pasu tidak akan hangus dan masak sempurna di bahagian luar dan dalam.

“Ayam yang dimasak dalam pasu akan masak sepenuhnya, isi­nya lebih lembut dan rasanya lebih lazat selain mengeluarkan aroma yang membangkitkan selera.

“Biasanya ia dijual mengikut saiz iaitu 2.6 kilo seekor pada harga RM30, jika dipotong separuh harganya RM15,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Jalan Kereta Api Lama, Bandar Baru Teluk Intan di sini baru-baru ini.

Menurutnya, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila menarik pelanggan dari pelbagai kaum untuk merasai keistimewaan juadah jualannya itu.

Kata Hairul Anuar, pada hari pertama puasa, sebanyak 10 ekor ayam berjaya dijual dan jumlahnya meningkat sekali ganda pada hari kedua dan seterusnya.

Jelasnya, mereka memulakan perniagaan pada pukul 3.30 petang sehingga 6.30 petang setiap hari dengan dibantu seorang kawan.

“Keenakan ayam bakar pasu ini juga ke­rana resepinya ke­rana kami menggunakan bahan-bahan seperti halia, serai, cili kering, asam jawa, belacan, garam dan gula,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Sharil Sufian, 23, dari Hutan Melintang berkata, dia mendapat tahu mengenai ayam bakar dalam pasu ber­kenaan menerusi Facebook.

Katanya, pada hari pertama puasa, dia datang ke sini tetapi mendapati pelanggan berbaris panjang dan keadaan itu menyebabkan dia tidak jadi membeli pada hari tersebut kerana perlu pulang cepat ke rumah.

“Hari ini saya datang awal sedikit untuk memastikan tidak terlepas untuk membeli ayam dibakar ini walaupun terpaksa menunggu hampir setengan jam,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Azizah Kadir, 39, dari Sungai Manik dekat sini memberitahu, dia datang ke Teluk Intan pada hari pertama puasa untuk membeli ayam tersebut tetapi hampa ke­rana sudah habis ketika itu.

“Hari ini saya datang lagi dan tidak mahu terlepas peluang untuk menikmati keenakan ayam yang dibakar dalam pasu ini,” katanya.