Ahmad Shaupi Ismail, 51, membuktikan orang kurang upaya (OKU) sepertinya mampu berdikari dengan mengusahakan jeli kelapa muda.

Menurut Ahmad Shaupi, pergerakannya yang terbatas kerana kudung kaki kanan sejak berusia 15 tahun disebabkan jangkitan kuman tidak menjadi penghalang kepadanya me­lakukan kerja memasak jeli dengan dibantu isteri, Rosiati Sukeimi, 53.

Katanya, selain dibantu isteri, ketiga-tiga anaknya yang berusia antara 17 hingga 21 tahun turut didedahkan dengan perniagaan jeli kelapa muda.

“Mereka juga banyak membantu saya dalam perniagaan ini terutama dalam pemasaran jeli kelapa muda,” ujarnya.

Jeli kelapa muda yang diusahakan Ahmad Shaupi di bengkel pempro­sesan Kampung Batu 9 Lekir di Sitiawan di sini, semakin mendapat perhatian dan digemari ramai hingga menerima tempahan dari luar negeri ini.

Pemanis mulut di bawah jenama Jelly Kelapa Muda D’Lekir itu mempu­nyai keistimewaan tersendiri yang memberikan kesegaran dan kemanisan air kelapa muda sebenar.

Menurut Ahmad Shaupi, pengliba­tannya dalam pemprosesan jeli kelapa muda bermula sembilan tahun lalu apabila dia mengambil keputusan ‘berhijrah’ kerja demi memberikan kehidupan yang lebih baik untuk keluarga.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, sebelum ini dia menanam pelbagai sayur-sayuran serta buah-buahan dan bekerja di bengkel membaik pulih motosikal lebih daripada 15 tahun.

“Bagaimanapun sumber pendapatan yang tidak menentu itu membuatkan saya cuba membuat jeli kelapa muda iaitu pada tahun 2009.

“Resipi jeli kelapa muda ini diperoleh daripada ibu saudara saya dan dari semasa ke semasa saya te­lah membuat beberapa perubahan untuk menjadikan jeli kelapa muda ini lebih istimewa dan disukai ramai,” katanya.

Ahmad Shaupi berkata, perniagaannya semakin berkembang selepas menyertai Program Pusat Inovasi Komuniti (CIC) yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

“Saya telah menerima bantuan ke­perluan mesin serta peralatan lengkap bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran.

“Bermula dengan hanya 60 cawan sehari, sekarang pengeluaran dan jualan jeli kelapa muda saya telah me­ningkat antara 600 hingga 1,000 cawan sehari bergantung kepada permintaan,” jelasnya.

Katanya, selain jeli kelapa cawan dalam dua saiz berbeza, dia juga turut memasarkan jeli kelapa di dalam botol.

“Pada masa sama saya juga bercadang untuk memasarkan jeli kelapa segera.

“Jeli kelapa ini dijual sendiri di pasar tani dan saya turut menerima tempahan daripada kantin sekolah, agensi kerajaan serta swasta, malah turut menerima tempahan luar dari Kuala Lumpur, Kedah, Johor dan Melaka,” katanya.