Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, dalam tempoh dari tahun 2007 hingga tahun ini, keluasan hutan tadahan air meningkat daripada 159,866 hektar kepada 295,401 hektar.

Menurut beliau, kawasan hutan tadahan air terus diperluaskan dengan memastikan hutan simpan dipelihara bagi menjamin sumber air yang berterusan.

“Pemeliharaan alam sekitar dilaksanakan secara mampan dan seimbang. Kita tidak hanya menfokuskan kepada pembangunan fizikal semata-mata tanpa mempedulikan keles­tarian alam semula jadi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri di sini hari ini.

Menurut Zambry, penjagaan alam sekitar yang mampan juga untuk memastikan tidak berlaku masalah kekurangan sumber air.

Katanya, ini dilaksanakan menerusi pendekatan bersepadu de­ngan mewujudkan ekosistem yang baik supaya sumber air di negeri ini bersih dan selamat digunakan.

“Pengurusan sumber air dilaksanakan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Air Perak (LAP), Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya.

Tegas Zambry, kerajaan ne­geri memandang serius terhadap kegiatan pencemaran sumber air yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, untuk itu kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan pihak yang membuang ke dalam sungai sisa-sisa ternakan, kumbahan dan sisa perladangan.

“Di Perak, masalah ini kita dapat kawal namun kita tidak boleh mengambil mudah sebaliknya te­rus memantau kegiatan yang boleh mencemarkan sumber air,” katanya.

Menurut Zambry, kerajaan negeri juga memberikan perhatian terhadap pengurusan sungai yang mampan untuk mengelak berlakunya banjir.

Katanya, Perak mempunyai beberapa buah sungai yang besar seperti Sungai Perak, Sungai Kerian dan Sungai Bernam yang dikongsi dengan Selangor.

“Sekiranya sungai-sungai ini tidak diurus dengan baik, ia boleh menyebabkan banjir jika hujan lebat," katanya.