Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, program akan berlangsung di Stadium Indera Mulia di sini bertujuan untuk mencari dana khusus bagi mengimarahkan masjid pada bulan Ramadan.

Menurutnya, antara yang menarik sepanjang lima hari karnival tersebut berlangsung adalah gerai jualan, ceramah agama, forum perdana, majlis makan malam amal, pertandingan Bilal Junior, Bilal Senior, Fun Run, Fun Ride dan sebagainya serta memberi sumbangan kepada asnaf.

“Program akan berlangsung di Stadium Indera Mulia memandangkan kawasan masjid terhad dan dianggarkan lebih 100,000 pengunjung hadir sepanjang lima hari karnival tersebut.

“Karnival ini akan dijadikan sebagai acara tahunan bagi Masjid Muhibbuddin Shah,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran karnival tersebut di sini, semalam.

Karnival diadakan dengan kerjasama Surau Al-Hijrah dan disokong oleh JAIPk, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Hotel Syeun.

Majlis Makan Malam Amal sempena karnival tersebut turut menampilkan selebriti ter­kenal tanah air seperti kumpulan Hij­jaz dan penampilan istimewa penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Sementara itu, Mohd. Yusop berkata, JAIPk memberi kebebasan kepada pengurusan masjid di negeri ini untuk mengadakan program bagi mengimarahkannya.

Beliau berkata, selain program-program kuliah yang diadakan hampir setiap hari di masjid-masjid yang bertujuan mengimarahkan dari sudut ilmu, pihak pengurusan masjid juga boleh mengadakan program lain untuk menarik lebih ramai penduduk setempat ke masjid.

“Sebelum ini kita sudah adakan kempen solat Subuh berjemaah di masjid dan ia berjaya, kini kita buat kempen solat berjemaah di masjid untuk tarik orang ramai ke masjid setiap waktu solat.

“Selain itu kita alu-alukan semua masjid di negeri ini buat program untuk tarik minat orang ramai datang ke masjid,” katanya.