Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, untuk itu pelbagai aktiviti berasaskan ekopelancongan akan susun untuk memastikan pengunjung diberikan pengalaman unik dan berbaloi.

“Kita mahu pelancong yang datang dari jauh dapat menghabiskan masa di sini lebih lama dengan pelbagai aktiviti yang boleh dibuat.

“Antara yang dicadangkan ialah aktiviti air separa lasak seperti Ninja Warrior atau sukan rakyat yang saya rasakan boleh menarik minat golongan muda,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Gelanggang Rakyat dan Karnival Mini Keselamatan di TT5, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.), Datuk Aminuddin Hashim.

Zambry berkata, usaha mempromosi kawasan ikon pelanco­ngan negeri Perak itu penting ke­rana ia mempunyai nilai sejarah yang begitu besar kepada negara dalam industri bijih timah.

Menurutnya, selain mempromosikannya sebagai tapak pelancongan, pengunjung dapat melihat kembali sejarah industri perlombongan bijih timah dan berkenaan kapal korek itu sendiri.

“Nilai sejarah dan aktiviti menarik inilah yang kita mahu gabungkan dan memberi peluang kepada pengunjung untuk merasainya. Sekiranya kawasan ini menjadi terkenal, ia akan menjadi pemangkin pembangunan di sekitarnya,” katanya.

Dalam program tersebut, Zambry turut merasmikan Palong @ TT5 iaitu salah satu aktiviti baharu yang boleh dibuat di kawasan berkenaan yang mana pengunjung boleh merasai pengalaman mendulang biji timah secara tradisional.

Katanya, proses membaik pulih TT5 yang dijalankan Amanjaya TT5 iaitu anak syarikat milik penuh PMB kini dalam fasa terakhir dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada Oktober ini.