Buah kantor yang sudah siap diproses boleh dimasak bersama air gula, dijadikan halwa dan juga dibuat bubur kerana kelembutan isinya seumpama gula-gula getah dan rasanya manis.

Ia diibaratkan kurma Malaysia dan permintaan terhadapnya begitu tinggi sekali dalam bulan Ramadan, malah mudah didapati di tepi-tepi jalan hingga ke hotel-hotel bertaraf lima bintang.

Namun, ramai tidak mengetahui kaedah memproses buahnya yang bertangkai dan berbentuk seakan-akan buah pinang itu.

Penoreh getah, Razuan Talib, 66, dan isterinya Rajamah Man, 54, berkata, mereka akan berhenti menoreh sepanjang bulan Ramadan bagi menumpukan kepada usaha memproses dan menjual buah kantor.

Menurut Razuan yang tinggal di Kampung Tua, Parit dekat sini, dia telah terlibat dalam ker­ja-kerja mencari dan menjual buah kantor sejak lebih 20 tahun lalu.

"Saya memang tidak menoreh sepanjang bulan puasa ke­rana mahu mencari dan menjual buah kantor.

“Selalunya bila mula berpu­asa, pembeli dan pemborong buah ini akan terus menelefon bertanyakan stok buah kantor," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Walaupun tidak menoreh untuk tempoh lebih kurang sebulan, Razuan merasakan ia tetap berbaloi memandangkan pendapatan daripada menjual buah kantor hakikatnya mampu mendatangkan hasil lumayan.

Bercerita lanjut menurut­nya, proses penyediaan buah kantor adalah bermula de­ngan mengambilnya daripada pokok.

Setelah buah diambil, ia perlu direbus untuk tempoh agak lama bagi menghilangkan getah yang boleh membuatkan kulit gatal dan biasanya proses merebus buah berkenaan dilakukan pada pukul 3 atau 4 pagi.

"Setelah direbus, buah ber­kenaan pula perlu dibelah bagi mengambil isinya yang putih dan isi itulah dipanggil sebagai buah kantor," katanya.

Razuan memberitahu, isi yang telah siap dikopek itu pula perlu dibasuh setiap hari dan ditukar dengan air baharu sehingga pelanggan datang untuk membelinya bagi mengelakkan ia menjadi masam.

Tambahnya, permintaan terhadap buah kantor sebenarnya sentiasa ada dan mendapat perhatian dalam bulan Ramadan.

“Saya boleh menghasilkan sebanyak 15 kilogram buah kantor setiap hari.

"Sejak hari pertama puasa, sudah ada yang menelefon bertanyakan tentang buah kantor ini. Pelanggan saya terdiri daripada mereka dari Ipoh, Tai­ping dan sebagainya selain di kawasan Parit ini sendiri," katanya.