Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, nilai-nilai murni seperti menghormati masa, bersih, cekap dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab, sentiasa memberi lebih daripada upah atau gaji yang diterima, bersungguh-sungguh dan istiqamah mestilah menjadi sebahagian daripada pegangan setiap masa.

“Sekiranya kita berpegang kuat kepada amalan-amalan itu dalam pekerjaan kita, saya amat yakin keseluruhan jentera kerajaan ne­geri ini akan menjadi yang terbaik dalam menjalankan amanah rakyat.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penjawat awam yang berdiri bersama-sama saya untuk terus berkhidmat dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan memastikan ketelusan di dalam jabatan dapat dikekalkan,” kata­nya ketika berucap dalam majlis Jamuan Aidilfitri Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 1,000 orang termasuk pegawai dan kakitangan jabatan serta agensi kerajaan negeri.

Terdahulu, ketibaan Sultan Pe­rak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim diiringi Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim di­sambut Menteri Besar serta isteri, Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi.

Baginda kemudian berkenan meluangkan masa melawat kira-kira 20 buah gerai makanan yang disediakan sempena majlis tersebut antaranya martabak, soto, sup rusa, kacang putih Buntong, mi udang serta pelbagai jenis bubur.