Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Wan Jamil Wan Chik bagaimanapun berkata, dalam tempoh itu juga, berlaku peningkatan dari segi jumlah kemalangan iaitu sebanyak 161 kes kemalangan.

Beliau berkata, ini menjadikan jumlah kemalangan yang dicatatkan pada Op Selamat 11/2017 adalah sebanyak 1,944 kes berban­ding 1,783 kes pada Op Selamat 9/2016.

“Sehingga hari terakhir Op Selamat 11, sebanyak 1,944 kemalangan dilaporkan. Daripada jumlah itu, terdapat 30 kemalang­an maut yang mengorbankan 34 mangsa direkodkan berbanding 39 kemalangan maut dengan 41 kematian tahun lalu.

“Sepanjang tempoh itu juga, 1,879 kes kemalangan ringan dan 14 kes kemalangan parah direkodkan dengan masing-masing mencatatkan 24 mangsa cedera parah dan 52 orang pula mendapat kecederaan ringan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, Wan Jamil berkata, sebanyak 25,670 saman melibatkan pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di seluruh negeri ini menerusi Op Selamat 11 yang dilancarkan bermula 18 Jun lalu.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 26 peratus atau 5,289 saman berbanding 20,381 saman yang direkodkan pada Op Selamat 9/2016.

“Objektif Op Selamat ini dijalankan adalah untuk memper­tingkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan mencegah berlakunya kemalangan disepanjang musim perayaan ini.

“Sebanyak 607 pegawai dan anggota trafik dengan 476 orang dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Unit Pasukan Peronda Lebuhraya (EMPV) seramai 52 orang dan 79 pegawai dan anggota trafik Bukit Aman diarahkan bertugas sepanjang Op Selamat 11 dijalankan,” katannya.