Ketua UMNO Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Mat Ali berkata, jualan bermula pukul 8 pagi itu telah diserbu oleh orang ramai terutamanya penduduk kampung.

“Kita tidak menyangka penduduk di sini akan memberikan res pon yang cukup baik terutamanya dalam kalangan suri rumah.

“Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan peluang kepada rakyat bagi mendapatkan bekalan keperluan harian pada harga lebih murah,” kata­nya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian program jualan tersebut yang diadakan di tapak Pasar Tani Taman Kerian berdekatan Dewan Ramli Ngah Talib, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, melalui program Jualan Sentuhan Rakyat ini, orang ramai dapat membeli barangan dengan harga murah tanpa melalui orang tengah.

Sehubungan itu, beliau berkata, inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu adalah tepat pada masanya bagi mengurangkan bebanan kos hidup rakyat.

“Selepas ini, kita akan menjelajah di Mukim Tanjung Piandang, Kuala Kurau, Bagan Tiang dan Titi Serong pula supaya semua rakyat dapat berpeluang merasai jualan sentuhan rakyat ini,” katanya.