Pengarah JPJ Perak, Mohd. Zawawi Zakaria berkata, langkah itu perlu diambil memandang­kan semakin banyak jumlah kenderaan yang ditempatkan dalam kawasan khas yang disediakan pihaknya.

“Kenderaan sita terlalu ba­nyak dan jika tidak dilelong akan memberi kesan terhadap nilai sesebuah kenderaan selain dapat mengurangkan masalah kerosakan pada kenderaan ter­sebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program lelongan kenderaan sesi 1/2018 di pekarangan JPJ Taiping di sini, baru-baru ini.

Mengenai isu kenderaan klon, Mohd. Zawawi menjelaskan, proses lelongan bagi kenderaan tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan melibatkan proses melucut hak milik.

“Ada juga kenderaan melibatkan kes jenayah yang perlu dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu.

“Setakat ini sebanyak 337 ken­deraan klon sejak 2014 masih ditempatkan di JPJ,” jelasnya.

Mengenai lelongan dalam program berkenaan, Mohd. Zawawi memberitahu, sebanyak 62 kenderaan dilelong dengan 30 daripadanya dari JPJ Taiping dan 32 lagi JPJ Ipoh serta cawa­ngan-cawangan lain.

Menurutnya, daripada 62 kenderaan tersebut, 57 boleh dilesenkan dan diguna pakai seperti biasa manakala baki lima buah lagi tidak boleh dilesenkan.

“Jika tiada halangan, JPJ akan laksanakan lelongan sekali lagi di JPJ Ipoh pada hujung tahun ini untuk mencapai sasaran lelongan dua kali setahun,” katanya.

Katanya, jumlah bidaan lelongan tersebut adalah serendah RM50 hingga RM25,000 dan hasil lelongan mencecah RM61,520.