Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri), Datin Seri Saripah Zulkifli berkata, ramai pelajar yang malu atau kurang yakin untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.

Menurutnya, ada juga yang faham dan boleh menulis dalam bahasa Inggeris tetapi malu apabila diminta bercakap dalam bahasa Inggeris terutama di khalayak ramai.

“Cabaran yang dihadapi oleh para pelajar kini ialah kurang keyakinan diri untuk berbahasa Inggeris. Ini perlu dielak­kan kerana bahasa Inggeris merupakan keperluan terutama apabila memaski alam pekerjaan.

“Persaingan dunia pekerjaan kini mendesak graduan untuk yakin serta fasih berbahasa Inggeris demi meme­nuhi keperluan pasaran kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ber­ucap dalam Program Anak Angkat Baidu­ri, English Camp #striveforexcellence dan Majlis Restu Bonda di Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Desa Rimba, di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Unda­ng­an Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor.

Program anak angkat itu merupakan aktiviti tahunan Baiduri dan dalam program kali ini ia disertai 133 pelajar dari 37 kawasan DUN dan Parlimen di Perak.

Program itu bertujuan memberikan motivasi kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Peserta juga menjalani aktiviti sukan dan rekreasi bertujuan membentuk jati diri pelajar.

Untuk sesi kali ini, Baiduri mengadakan slot kem bahasa Inggeris dengan bantuan 16 orang fasilitator dari Universiti Sains Malaysia (USM).