Pengerusi Jawatankuasa Pe­lan­congan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, program tersebut yang mendapat sambutan masyarakat dari dalam dan luar negara, diharap dapat meningkatkan lagi kehadi­ran pelancong khususnya dari negara Asia.

“Penganjuran siri maraton kayuhan global, Grand Fondo New York (GFNY) bersempena Ipoh Cycle Fest pada hari ini adalah untuk menarik lebih ramai peminat sukan berbasikal untuk datang ke bandar raya ini khususnya pada Tahun Melawat Perak 2017.

“Pada hari ini, lebih 400 peserta menyertai kayuhan daripada pelbagai negara, jadi kita anggarkan jumlah ini akan meningkat mencecah 2,000 orang sehingga festival berbasikal ini berakhir pada 30 April ini,” katanya selepas melepaskan peserta kayuhan GFNY di X-Park, Tambun di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahaya.

Antara peserta GFNY yang menyertai kayuhan tersebut termasuklah dari India, Iran, Australia, Afrika Selatan, Ireland, Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura dan Indonesia.

Sementara itu, Shahrul Zaman berkata, kesungguhan kerajaan negeri untuk mempromosi bandar raya ini sebagai destinasi sukan pelancongan bakal disemarakkan lagi dengan dua lagi penganjuran bertaraf antarabangsa.

“Dalam tempoh terdekat ini, Ipoh juga menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-26 pada 29 April hingga 6 Mei serta Kejohanan Ragbi Asia dari 14 hingga 20 Mei depan,” katanya.