Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, pihak sekolah mempunyai kemampuan dan pengalaman cukup untuk memastikan keadaan pelajar berada dalam keadaan baik kerana kejadian itu merupakan kali kedua yang berlaku pada skala kecil.

Menurut beliau, insiden pertama berlaku pada tahun 2017 di mana ia turut melibatkan dua buah sekolah berhampiran iaitu Sekolah Izzuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah.

“Jadi jangan percaya dengan beberapa ‘posting’ dalam media sosial yang tular dan mungkin memberikan gambaran membimbangkan, negatif dan sebagainya.

“Tahapnya masih terkawal dan tidak membimbangkan dan saya rasa pihak di luar sana tidak perlu bimbang kerana ini bukan wabak yang teruk, malahan pihak sekolah mempunyai kemudahan untuk menangani masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau perkembangan pelajar-pelajar yang diisolasi di sekolah berkenaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak menjejaskan sesi pembelajaran pelajar lain yang berjalan seperti biasa.

“Tiada masalah di sekolah ini walaupun ada ada antara pelajar masih belum bebas dari sakit ini (diasingkan) dan ada yang dibawa pulang ke rumah oleh ibu bapa tetapi tidak membimbangkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE