Pengerusi Jawatankuasa Ke­sihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan berkata, sejak ditubuhkan pada September 2014, seramai 1,658 pesakit obes mendaftar dengan klinik berkenaan.

Sivanesan berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 85 orang berjaya melalui pembedahan bariatrik dengan purata pengurangan berat badan antara 40 hingga 50 peratus manakala 70 pesakit pula berjaya mengurangkan berat masing-masing sehingga 40 peratus daripada berat asal melalui kaedah lain.

“Klinik Bariatrik di HRPB diketuai Pakar Bedah Endokrin, Payudara dan Bariatrik, Dr. M. Kirubakaran dengan dibantu pakar dalam pelbagai bidang seperti perubatan endokrin, perubatan sukan, dietetik, kaunselor, psikiatri, farmasi dan anesthesiologi yang bekerjasama memberi pendekatan secara menyeluruh dalam merawat pesakit obes.

“Pembedahan bariatrik yang dilaksanakan di sini terma­suklah pembedahan pintasan gastrik dan sarung gastrectomi laparoskopik serta pembedahan pertama telah dilakukan de­ngan jayanya melibatkan seorang kakitangan HRPB pada November 2014,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Obesiti 2018 anjuran Jabatan Pembedahan HRPB di Kompleks Rawatan Harian hospital tersebut, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah HRPB, Dr. Teoh Gim Sian.

Simposium yang dihadiri kira-kira 250 peserta kalangan pesakit, keluarga dan agensi kerajaan itu membincangkan cara menangani obesiti, epidemik obesiti dan komplikasinya.

Menurutnya, turut disentuh mengenai cara diet yang betul untuk pesakit bariatrik, senaman efektif sebelum dan selepas pembedahan serta perkongsian pengalaman sendiri pesakit.

Pada masa sama, katanya, pihak HRPB turut menubuhkan Kumpulan Sokongan Bariatrik HRPB dalam kalangan pesakit yang bakal melalui dan telah melalui pembedahan untuk memberi sokongan emosi selain berkongsi informasi dan pe­ngalaman masing-masing.

“Tahniah saya ucapkan kepada HRPB atas inisiatif yang sangat baik ini dan saya percaya, sejak ditubuhkan empat tahun lalu, ramai pesakit obes mendapat manfaatnya,” katanya.