Minat yang ditanam sejak kecil itu membolehkan pesara guru terbabit memiliki koleksi barang lama yang bukan sedikit malah rumahnya sendiri tidah ubah seperti galeri mini yang dipenuhi barangan antik dan ­eksklusif.

Tidak sekadar itu, minat unik tersebut membawa Ramli me­­- ­ng­em­bara hingga ke luar negara se­perti England dan Turki bagi mendapatkan barangan lama dan unik yang sukar dijumpai.

Bercerita lanjut, kata Ramli, ping­gan dan jam milik neneknya yang berusia lebih 100 tahun pada mulanya sekadar disimpan untuk dijadikan kenangan, namun menjadi titik tolak kepada hobinya itu.

Katanya, kerja-kerja mengumpul barangan lama menjadi lebih serius terutama selepas dia menamatkan pengajian apabila mula membeli barangan tersebut untuk dijadikan koleksi.

“Saya menyedari hobi ini timbul sejak berusia lapan tahun iaitu sekitar tahun 1962, barang pertama yang diperoleh ialah pinggan dan jam lama yang masih boleh digunakan sampai sekarang.

“Saya lebih serius dalam hobi ini selepas tamat belajar. Bermula dari situ apabila dengar ada orang mahu jual barang, saya akan pergi.

“Bagaimanapun, saya lebih kepada bertukar barang. Bagi saya, duit boleh cari tetapi barang lama dan sukar dijumpai lagi ini amat berharga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Hala Klebang Restu 9, Medang Klebang Restu, Chemor dekat Ipoh, Pe­rak, baru-baru ini.

Ramli berkata, antara koleksi miliknya yang hampir meme­nuhi ruang tamu utama rumahnya ialah lebih 5,000 koleksi gelas, botol dan barangan jenama Coca-Cola dari pelbagai negara.

Selain itu katanya, dia turut menyimpan gramophone, kad telefon edisi terhad, radio lama, piring hitam, poster filem P. Ramlee dan Saloma, surat khabar dan artikel yang berkaitan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta pinggan-mangkuk.

“Kalau diikutkan masih belum ada galeri mempamerkan bara­ngan Coca-Cola edisi istimewa ini di Asia. Ini kerana semua barang yang saya kumpul se­benarnya sukar diperoleh dan hanya dikeluarkan dalam kuantiti terhad.

“Saya kumpul koleksi Coca-Cola ini bukan setakat botol tetapi apa saja barang daripada jenama ini termasuk edisi terhad dalam kejohanan sukan dunia mahupun musim perayaan selain botol Coca-Cola yang pertama dan masih lagi ada air pada tahun 1894 yg didapati di Mississippi dan 10 siri botol Coca-Cola yang pertama masuk ke negara ini.

“Walaupun koleksi di rumah saya lebih kepada barangan Coca-Cola, tetapi saya juga kumpul semua barang yang jarang atau rare untuk kita dapatkan sekarang. Apa saja barang yang dikira unik, saya akan beli atau tukar dengan kawan-ka­wan.

“Malah, tiga kali saya ke England iaitu di The Junk Shop berdekatan Greenwich untuk mendapatkan barang-barang antik dan lama. Di sana banyak barang Malaysia dan salah satu yang saya dapat adalah setem,” katanya.

Dalam pada itu, menceritakan tentang penjagaan koleksi barang miliknya, Ramli memberi­tahu, setiap barangan yang dipamerkan menuntut penjagaan yang rapi bagi mengelakkan daripada rosak, reput dan berkarat.

Katanya, walaupun hanya barang lama seperti kamera dan jam, ia perlu disapu minyak dan digilap bagi mengekalkan keaslian dan kualiti barang tersebut.

“Barang-barang ini saya akan susun di dalam almari kaca mengikut jenis-jenis koleksi. Penjagaannya amat teliti tetapi berbaloi apabila melihat hasilnya masih elok sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, bercerita tentang impiannya melalui hobi tersebut, Ramli berkata, dia berhasrat mempamerkan koleksinya itu di bangunan baharu yang lebih besar dan selesa dengan dinamakan sebagai Galeri Rakyat.

Jelasnya, dia tidak mahu koleksi istimewa yang dimiliki itu hanya menjadi tontonan sendiri dan keluarga sahaja sebaliknya mahu seluruh masyarakat khususnya rakyat di negeri ini turut sama menghargai nilai barangan tersebut.

“Saya berharap mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri, pemain industri pelancongan mahupun orang persendirian agar sama-sama membantu saya menyediakan tempat yang sesuai untuk barang-barang ini dipamerkan,” kata Ramli.