Selain itu, pelanggan juga boleh mencuba masakan ringkas namun enak yang menjadi hidangan buat anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sewaktu bertugas di kapal.

Itu antara tarikan pengunjung ke Kafe Kopee Paste yang diusahakan oleh bekas chef Istana Negara dan untuk anggota tentera, Ahmad Zailan Zukapli, 44, atau lebih mesra dengan panggilan Chef Lan.

Menurutnya, sewaktu menjadi tukang masak di Istana Negara semasa Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menjadi Yang di-Pertuan Agong, masakan yang digemari oleh baginda ialah hidangan spaghetti aglio alio.

“Hidangan ini merupakan makanan laut dan lada hitam yang seimbang tanpa menjejaskan rasa manis makanan laut yang kini menjadi hidangan istimewa dan pilihan pelanggan di kafe kami,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Ahmad Zailan mengusahakan kafe tersebut sebagai perniagaan keluarga bersama adik-adiknya iaitu Zaireen,37, Zuhaila,29, Zatil Alia, 24, sambil dibantu rakannya, Nazri Kamarudin,36 dan Mohd. Shahril Mohd. Najib,30.

Di Kafe Kopee Paste menyediakan lebih 40 menu terutama makanan barat.

Satu lagi hidangan kegemaran di kafe tersebut ialah nasi goreng yang biasanya menjadi hidangan anggota TLDM ketika bertugas di atas kapal.

“Hidangan nasi goreng ini ringkas sahaja iaitu nasi goreng yang dimakan dengan keropok dan udang goreng bersalut tepung namun rasanya enak.

“Ia merupakan antara menu pilihan pelanggan di kafe kami,” katanya.

Menurut Ahmad Zailan, Kopee Paste mengetengahkan konsep hips­ter atau kafe jalanan, sesuai dengan cita rasa pelanggan masa kini terutama golongan muda.

Apa yang unik, kafe tersebut tidak menyediakan perkhidmatan wifi percuma seperti kebanyakan kafe yang lain.

Katanya, ini bertepatan dengan konsep kafe tersebut iaitu mahukan pelanggan 'duduk, makan, sembang dan santai’.

“Tanpa kemudahan wifi, kami berharap para pelanggan dapat melupakan seketika dunia media sosial menerusi telefon bimbit sebaliknya menumpukan fokus dan meluangkan lebih banyak masa berbual-bual bersama rakan-rakan atau ahli keluarga masing-masing di kafe ini,” katanya.