Az Zahara Soffiea Mohd. Faizal, 7, yang hadir bersama kira-kira 20 ahli keluarga dan rakan-rakannya kelihatan gembira apabila dibawa melawat ke pelbagai tarikan yang ada di taman tema berkenaan.

Pada lawatan tersebut, Az Zahara yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan mesra di panggil ‘Baby’ itu berpeluang bermain dengan kucing di Catopia, memberi makan haiwan di Petting Zoo dan melawat harimau di Tiger Valley.

Bapa Az Zahara, Mohd. Faizal Che Ahmad, 34, berkata, anaknya itu disahkan menghidap Brainstem Tumor pada bulan April lalu setelah menunjukkan tanda-tanda seperti pergerakan tidak seimbang dan sering terjatuh ketika berjalan.

Katanya, sebaik sahaja mengetahui berita mengejutkan itu, mereka sekeluarga hanya mampu berserah kepada tuhan dan berharap kanak-kanak itu kuat untuk menanggung ujian berat tersebut.

“Saya dan isteri reda dengan ujian ini dan berharap Baby kembali pulih seperti dulu dan dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

“Tiada apa yang dapat kami lakukan selain menunaikan hasratnya yang mahu berjumpa dengan kawan-kawannya di sekolah dan berjalan-jalan di kawasan yang pernah dilawatinya seperti Lost World of Tambun dan Cameron Highlands,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Mohd. Faizal, mereka sekeluarga amat gembira apabila hasrat Baby untuk datang semula ke Lost World of Tambun tercapai meskipun dalam keadaannya yang tidak sihat.

“Terima kasih kepada Lost World of Tambun dan Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia (CWS) kerana menunaikan hasrat anak saya.

“Kami gembira apabila melihat Baby dapat berjumpa rakan-rakannya dan bermain bersama mereka. Kegembiraan Baby adalah kegembiraan kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah CWS, Gordon Hendricks berkata, setakat ini pihaknya te­lah menunaikan hasrat lebih 700 kanak-kanak di seluruh negara sejak penubuhan persatuan itu sejak 11 tahun lalu.

“Kami sangat berbesar hati ke­rana berjaya menunaikan hasrat kanak-kanak istimewa ini sekali gus meraikan mereka,” katanya.