Secara amnya, ramai yang terpaksa ke hulu ke hilir dan me­lakukan pelbagai pekerjaan lain akibat sukar mendapatkan pekerjaan.

Ada juga yang sudah mendapat pekerjaan, tetapi bidang tugas yang dipikul itu pula bukanlah kerja yang bersesuaian dengan kelayakan masing-masing.

Sebenarnya, peluang terhad dalam sektor makan gaji bukanlah penamat, kerana pekerjaan lain seperti dalam sektor perta­nian juga mampu menjanjikan pendapatan lumayan jika diusahakan secara serius dengan bim­bingan pihak berkaitan.

Ini dibuktikan oleh sekumpulan anak muda di sini yang berjaya menjadi petani moden de­ngan mengusahakan pelbagai jenis tanaman termasuk petola, rock melon, timun dan cili merah.

Menurut mereka, semua ini dilakukan kerana ingin memajukan tanah terbiar di kampung mereka, selain minat yang mendalam dalam kegiatan pertanian.

Jangan terkejut, jika pendapatan mereka jauh lebih lumayan berbanding pendapatan mereka yang makan gaji.

Azarul Ahmad Puat, 28, pemilik Ijazah Sarjana Muda Kewa­ngan dari Universiti Intitusi Teknologi Mara (UiTM) berkata, dia pernah bekerja di lapangan terbang antarabangsa dan pasar raya kecil di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, setelah dua tahun berada di Kuala Lumpur, Azarul berkata, dia masih gagal mendapat pekerjaan yang bersesuai dengan kelayakannya.

Justeru, kata Azarul, dia nekad pulang ke sini pada tahun 2014 dan mengusahkan tanaman sayur-sayuran di atas tanah seluas 4.5 hektar yang di sewanya di Bukit Chandan dan Kampung Sungai Siput di sini.

“Walaupun berada di bawah panas terik, saya tetap memilih menjadi pekebun sayur kerana memberikan pendapatan jauh lebih baik berbanding dengan kerja terdahulu.

“Lebih-lebih lagi apabila melihat sayuran-sayuran hidup subur dan menghijau, saya rasa sangat puas,” katanya ketika ditemui di ladangnya di sini baru-baru ini.

Pada musim kali ini, Azarul memilih untuk menanam tanaman rock melon, timun dan petola.

Tambah beliau, untuk tanaman petola dan timun yang kini sedang berbuah, ia nanti akan dipasarkan menerusi kaedah kontrak ladang kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini.

Azarul berkata, tanaman rock melon yang ditanam secara poly beg pula telah mula mengeluarkan hasil untuk pe­ringkat pertama.

Kata beliau, peringkat kedua pula dijangka akan mengeluarkan hasil bulan depan.

“Alhamdulilah, saya mampu mencapai pendapatan belasan ribu ringgit selepas membayar gaji pekerja, membeli benih, baja dan pengurusan lain,” katanya.

Sementara itu, Sheikh Ashraf Al-Hadad Sheikh Saratul Akmal, 32, lulusan Ijazah Kejuruteraan Meknikal Universiti Tun Hussien Onn, Batu Pahat, Johor pula memilih untuk mengusahakan tanaman cili merah dan timun sejak tiga tahun lalu.

Menurut Sheikh Ashraf, dia memilih menggunakan sistem fertigasi untuk tanamannya yang diusahakan di Kampung Kota Lama Kiri di sini.

“Mengusahakan kebun sayur ini yang paling penting adalah aspek penjagaan yang sempurna selain penanaman dan pembajaan. Kalau semuanya betul dan sempurna, insyaallah hasilnya nanti amat baik dan mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya.

Beliau berpendapat, masalah pengangguran dalam kalangan siswazah boleh dikurangkan jika mereka yang terlibat sanggup bekerja sendiri, termasuk menjadi petani kerana banyak tanah terbiar di kampung boleh dimajukan.

“Saya sendiri amat selesa be­kerja sendiri kerana semuanya terletak di tangan kita berbanding makan gaji.

“Insya-Allah, saya berhasrat untuk menambah lagi keluasan kebun memandangkan pasaran lada dan timun ini amat luas selain permintaan yang semakin bertambah,” katanya.

Ahmad Zakuan Azhar, 33, pula telah mengusahakan kebun sa­yurnya sejak lapan tahun lalu dan berupaya menghasilkan sehingga 10 tan metrik sayuran berupa timun dan petola setiap bulan.

Lulusan Universiti Malaya itu berkata, dia bercita-cita untuk mejadi jutawan tani sebelum usianya mencecah 40 tahun.

“Ketika ini saya mengusahakan tanaman itu di atas tanah seluas 0.9 hektar di Kampung Talang Hilir.

“Insya-Allah, menjadi petani pun mampu mendapat pendapatan lumayan kalau betul dengan caranya. Yang penting kita kena usaha,” katanya.