Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati berlaku lambakan durian yang dijual di tepi jalan sekitar bandar ini serta Chenderong Balai dan Sungai Manik.

Seorang penjual durian, Na­wawi Yop Musa, 49, berkata, harga durian agak murah ekoran musim buah-buahan di beberapa negeri termasuk Perak.

Dia memberitahu, keadaan itu difahamkan menjadi punca berlaku lambakan durian di seluruh negeri.

“Harga durian kampung dijual antara RM8 hingga RM15 sekilogram manakala musang king RM30 sekilogram berbanding RM60 sekilogram tahun lalu,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, peniaga, Mohd. Rajali Sabri, 47, berkata, sebiji durian seberat kira-kira dua kilogram dijual pada harga RM16.

“Jika pelanggan membeli ti­ga biji, harganya antara RM48 hingga RM52. Harga yang rendah ini membolehkan pelanggan membeli dalam kuantiti yang banyak.

“Malah, hari ini saya bawa satu tan durian tetapi jumlah itu tidak mencukupi,” katanya.

Dalam pada itu, pembeli, Normah Ahmad Kusaini, 34, dari Kampar berkata, dia yang kebetulan bercuti bersama keluarganya di Teluk Intan turut mengambil kesempatan membeli durian.

Katanya, harga durian pada RM8 sekilogram dianggap agak murah berbanding RM25 sekilogram tahun lalu.

“Agak menyeronokkan melihat banyak durian kali ini dan har­ganya pun agak murah.

“Tetapi jika sudah suka, tak kira harganya murah atau mahal saya tetap mahu menikmati keenakan raja buah ini,” kata­nya.