Dia yang merupakan ikon pertanian bandar Jabatan Pertanian Negeri Perak berkata, usahanya itu bermula sebagai hobi sehingga menjadi pendapatan sam­pingan apabila tanamannya subur dan mengeluarkan hasil yang banyak.

Tanaman hijau yang menghi­asi halaman rumah Mohd. Azman itu bukan sahaja memberi suasana nyaman dan pulangan lumayan, malah ia membawa tuah kepadanya apabila memenangi Anugerah Landskap Kediaman Inovatif daripada Jabatan Pertanian Negeri Perak pada tahun lalu.

Katanya, dia memanfaatkan ruang yang sempit dengan menanam 32 jenis sayuran, buah-­bu­ahan, herba dan ulam-ulaman.

Antaranya sawi, kangkung, bendi, kailan, kucai, bayam, anggur, petola, labu air, cabang tiga, pucuk bebuas dan putat.

“Matlamat utama saya adalah mahu mendidik masyarakat setempat mendalami pertanian biarpun mempunyai ruang terhad dengan tujuan mengurangkan belanja dapur.

“Saya hanya minat bercucuk tanam saja dan tugas sebagai Penolong Pegawai Pertanian Daerah juga salah satu pendorong utama saya untuk mengusahakan kebun ini kerana ia bertujuan mendidik dan memberi contoh kepada mereka yang berminat,” katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya di Kuarters Penjawat Awam, Lorong Tok Perdana, Sitiawan, di sini sini baru-baru ini.

Menurutnya, dia juga me­nya­rankan kepada kakitangan yang tinggal di kuarters supaya bertani kerana secara tidak langsung, ia dapat menjaga halaman rumah selain mengindahkan landskap.

Mohd. Azman dibantu iste­rinya, Engku Zaharah Ramli, 42, menguruskan tanaman dan menjual hasil yang dipetik terus dari kebun sehingga mampu memberi pulangan memuaskan.

“Kebetulan isteri berniaga na­si lemak dan kuih muih di tepi rumah, jadi kami menjual hasil kebun kepada orang ramai yang mahu mendapatkan sayur segar.

“Bukan sahaja menjimatkan belanja dapur, ia juga dapat me­ningkat ekonomi selaras dengan konsep tanam apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam selebihnya dijual.

“Dengan insiatif ini, saya dapat menunjukkan kepada ma­syarakat biarpun ruang terhad masih boleh dimanfaatkan me­ngikut kreativiti dan alternatif sendiri seperti menggunakan ra­ga atau pasu untuk tanam sayur,” katanya.

Mohd. Azman berkata, dalam pengurusan tanaman, media ta­naman atau batas adalah perkara penting yang perlu difokuskan.

“Ia perlu mempunyai campuran bahan seperti pasir, tanah dan najis ayam.

“Selain menggunakan baja bi­asa, saya juga guna air basuhan beras dan ikan untuk mengelakkan serangga dan menyembur air yang dibuat daripada kisaran bawang putih serta cili padi,” katanya.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, setiap mereka yang mahu bertani mesti mempunyai ilmu.

Katanya, sekiranya tidak mempunyai ilmu, dia tidak keberatan untuk memberi tunjuk ajar kepada sesiapa yang datang melawat ke kebunnya untuk melihat de­ngan lebih dekat serta belajar cara pengurusan tanaman.

“Penting untuk kita tahu supaya mempunyai kasih sayang dengan tanaman dan apa yang paling salah adalah terlalu mengharapkan hasil,” katanya.