Menurut mereka, longgokan dan pembakaran sekam padi itu bukan sahaja menjejaskan kesihatan malah mengganggu penglihatan pengguna jalan raya ekoran asap hitam.

Seorang penduduk, Mohamad Aini Ahmad, 50, berkata, sekam padi itu dibawa dari tapak semaian padi yang terletak di Parit Haji Tahir, Batu Lima di sini dan dilonggokkan di tepi jalan sebelum dibakar.

Katanya, keadaan tersebut menyebabkan kehidupan penduduk sekitar terjejas apabila terpaksa menghidu habuk dari sekam padi yang dibakar itu.

“Kawasan pembakaran ini dilakukan di hadapan tempat semaian tersebut. Sekam padi yang dibakar itu ada kala menyala dan berasap tebal sehingga mengganggu orang ramai termasuk pengguna jalan raya.

“Keadaan ini sangat mengganggu kehidupan harian penduduk di sini. Oleh itu, kita minta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap aktiviti yang sema­kin berleluasa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Othman Awang, 67, berkata, tindakan pihak yang melakukan pembakaran terbuka itu disifatkan sebagai degil dan memikirkan keuntungan semata-mata meskipun pelbagai aduan disuarakan.

“Ini bukan perkara baharu, telah lama aktiviti ini dilakukan. Mereka hanya fikir untung sahaja tanpa mengetahui kesan dan akibat perbuatan tersebut,” katanya.