Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pengiktirafan itu diberikan kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran (Perkhidmatan Kewangan) melalui penganugerahan keahlian Perunding Kewangan Profesional Berdaftar (RFP) dan Perunding Kewangan Syariah Profesional Berdaftar (Syariah RFP).

Beliau berkata, keahlian profesional itu turut diiktiraf oleh dua institusi kewangan utama negara iaitu Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

“Keahlian profesional ini membolehkan pelajar memperoleh lesen untuk menjalankan praktis di bawah BNM iaitu Financial Advisers’ License (FAR) dan Financial Advisers’ Representative License di bawah Akta Insurans 1996.

“Di bawah SC, lesen yang diperoleh pula melibatkan Investment Adviser’s License dan Capital Markets Services Licence Representative (CMSLR) yang masing-masing tertakluk di bawah Akta Industri Sekuriti 1983 dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007,” katanya dalam majlis menandatangani perjanjian tersebut di Bilik Mesyuarat Utama, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, di sini baru-baru ini.

Dalam majlis berkenaan, UPSI di­wakili Mohammad Shatar sementara MFPC di­wakili Presidennya, Micheal Kok Fook On.

Dalam pada itu, Mohammad Shatar berkata, melalui pengiktirafan tersebut, ia memberi kelebihan ke­pada graduan UPSI untuk bersaing da­lam industri perkhidmatan kewangan. 

Selain itu, katanya, ia turut membolehkan pensyarah yang memiliki keahlian RFP dan Syariah RFP, menjadi tenaga pe­ngajar di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI.

“Pelajar akan menjalani ku­liah di UPSI selama tujuh semester sebelum meneruskan de­ngan latihan industri di syarikat berkaitan pada semester kelapan.

“MFPC akan bertindak mencari dan menyalurkan pelajar ke syarikat perancang kewangan yang bersesuaian semasa latihan industri pada semester ke lapan nanti,” katanya.