Berkeluasan 1,958 kilometer persegi me­rangkumi kawasan se­kitar Ipoh sehingga ke Kampar, Geopark Lembah Kinta kaya dengan warisan alam dan budaya yang se­suai untuk dikete­ngahkan sebagai pro­duk pelancongan.

Pengarah Jabatan Mi­neral Geosains (JMG) Perak, Mohd. Si­di Daud berkata, Mesyuarat Ja­watankuasa Geopark Kebangsaan di bawah Kementerian Sum­ber Asli dan Alam Sekitar yang bersidang pada 18 Julai lalu telah memperakui Geopark Lembah Kinta untuk diangkat sebagai geopark kebangsaan.

“Dalam Geopark Lembah Kinta, kita bukan sahaja menekankan tentang tapak-tapak ‘geosite’ yang telah kita kenal pasti tetapi juga kepelbagaian budaya yang ada di negeri ini.

“Contohnya di Kampung Pos Raya, kita ada per­kampungan budaya Orang Asli yang bakal menjadi produk pe­lancongan daripada sembilan laluan ‘geo­trail’' yang telah kita kenal pasti,” katanya.

Beliau berkata de­mi­­kian kepada pemberita selepas memperkenalkan Kampung Pos Raya serta budaya hidup masyarakat Orang Asli yang mempunyai ta­rikan untuk diangkat sebagai produk pelancongan dalam Geopark Lembah Kinta di sini baru-baru ini.

Usaha merealisasikan penu­buhan Geopark Lembah Kinta telah bermula sejak tahun 2012 dan JMG Perak telah menerima peruntukan sebanyak RM5 juta daripada kerajaan negeri bagi merealisasikannya.

Dalam pada itu, Mohd. Sidi berkata, usaha juga sedang dijalankan bagi mengangkat Geo­park Lembah Kinta sebagai Glo­bal Geopark di bawah UNESCO dalam masa dua tahun selepas diisytihar sebagai geopark kebangsaan.

Sehubungan itu katanya, pelbagai aktiviti telah dirancang termasuk penganjuran program ke­sedaran dengan memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Se­ri Kampar sebagai sekolah angkat bagi tujuan tersebut.

“Laluan ‘geotrail’ Geopark Lem­bah Kinta bermula di Muzi­um Geologi kami di JMG dan seterusnya ke Gua Tambun yang mempunyai lukisan prasejarah di dindingnya.

“Selain itu, ia juga meliputi kawasan sekitar Limau Bali Tambun dan ‘Pencil Rock’ yang terdapat di Lost World of Tambun,” katanya.