Timbalan Menteri Pertanian dan lndustri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pelajar perlu disemai kesedaran untuk berdikari apabila menamatkan pengajian kelak dengan menceburi sektor keusahawanan yang turut menjanjikan pendapatan yang baik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, keadaan semasa hari ini menuntut pelajar supaya tidak hanya bergantung kepada kerja makan gaji setelah menamatkan pengajian.

“Kerana terlalu memilih pe­ker­jaan, maka ramai yang me­nganggur sedangkan bidang ke­usahawanan juga mendatangkan pulangan yang baik jika diusahakan dengan betul.

“Apatah lagi kerajaan memberikan pelbagai bantuan dan pembiyaan untuk golongan muda menjadi usahawan, maka rebutlah peluang-peluang yang disediakan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Seberang Perak di sini, baru-baru ini.

Menurut Tajuddin, pengangguran tidak akan berlaku jika golongan belia mempunyai minat dan keazaman untuk menjadi usahawan, selaras dengan kemahiran yang mereka miliki.

Beliau berkata, apatah lagi negara memerlukan golongan muda yang mempunyai jati diri, berilmu, mempunyai kemahiran dan berketrampilan.

Justeru, katanya, para pelajar perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran untuk menerokai peluang menjadi usahawan.

“Bagi mencapai hasrat ini, ibu bapa dan guru perlu berperanan proaktif memberi suntikan semangat kepada anak-anak mereka supaya mempunyai semangat berdikari dalam bidang keusahawanan dan lain-lain bidang kemahiran,” katanya.