Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Ismail Che Isa berkata, pemindahan gajah ter­sebut ke habitat yang lebih sesuai dilakukan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan.

Tambah Ismail, Jabatan Per­hilitan sebelum itu terpaksa mengikat dua kaki bahagian kanan gajah berkenaan di tepi jalan tersebut memandangkan ia berada di kawasan yang bercerun selain boleh mengancam nyawa orang ramai.

“Perhilitan terpaksa menambatnya di kawasan yang mempunyai pokok besar di tepi jalan disebabkan faktor muka bumi kawasan tersebut.

“Operasi menangkap gajah tersebut juga dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh pasukan Perhilitan dan ia telah dipindahkan ke ha­bitat yang lebih sesuai semalam,” katanya di sini hari ini.

Pada masa sama, tambah Ismail, Perhilitan menafikan pihaknya telah melakukan pe­nganiayaan dengan merantai kaki gajah tersebut sebaliknya terpaksa melakukannya kerana gajah liar itu boleh mendatangkan risiko kepada orang awam.

“Perhilitan tidak dapat memindahkan gajah tersebut de­ngan segera sebaik ditangkap memandangkan ketika itu aliran trafik tinggi kerana proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sedang berlangsung.

“Bagaimanapun, pihak Per­hilitan telah melakukan pemantauan berterusan selama 24 jam setiap hari termasuk memantau kesihatan, keperluan makanan dan minuman serta diet gajah berkenaan,” katanya.

Menurut Ismail, tindakan me­rantai kaki gajah itu juga dilakukan untuk keselamatan gajah itu sendiri bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.